Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri II, Datuk Seri Ong Ka Chuan (tengah) bersama Ketua Pegawai Eksekutif MIDA, Datuk Azman Mahmud (empat kiri) beramah mesra dengan para panel yang hadir pada Majlis Seminar Pelaburan Kebangsaan 2017 anjuran MIDA di Intercontinental Hotel, Kuala Lumpur. foto HAZROL ZAINAL, 08 NOVEMBER 2017.

KUALA LUMPUR – Malaysia masih menjadi destinasi pelaburan pilihan meskipun mempunyai sasaran portfolio berbeza berbanding negara-negara jiran yang lain.

Ketua Pegawai Eksekutif Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA), Datuk Azman Mahmud berkata, bagaimanapun jumlah pelaburan yang masuk ke Malaysia masih bergantung kepada persekitaran ekonomi global.

“Pelabur tidak pernah lari dari Malaysia. Memang jika dibandingkan dengan negara-negara jiran, kita berada di kedudukan yang berbeza kerana jika terdapat pelaburan yang tidak menepati kriteria, mereka akan pergi ke negara lain.

“Malaysia kini mahu mencari pelaburan paras tinggi yang menekankan kemahiran dan kepakaran,” katanya semasa sidang media selepas majlis pelancaran Seminar Pelaburan Kebangsaan 2017 di sini hari ini oleh Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri II, Datuk Ong Ka Chuan.

Dalam pada itu, Ka Chuan berkata, Malaysia mencatatkan pelaburan yang diluluskan sebanyak RM65.4 bilion pada enam bulan pertama 2017 dalam sektor pengilangan, perkhidmatan dan sektor utama yang lain.

Pelaburan-pelaburan tersebut melibatkan 2,294 projek dan akan membuka peluang pekerjaan kepada 61,930 peluang pekerjaan.

“Setakat September 2017 juga, MIDA mempunyai 341 projek dalam perancangan dengan nilai pelaburan sebanyak RM50.9 bilion dalam sektor pengilangan dan perkhidmatan.

“Projek-projek ini berpotensi untuk menyediakan 18,000 peluang pekerjaan di dalam negara,” katanya.-MalaysiaGazette