Ahmad Maslan
Ahmad Maslan

KUALA LUMPUR – Syarikat kereta nasional negara, PROTON bakal menambah bilangan pekerjanya daripada 9,600 kepada 20,000 orang dalam tempoh 10 tahun depan, kata Datuk Ahmad Maslan.

Timbalan Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri itu berkata, langkah tersebut adalah hasil daripada manfaat yang diperoleh menerusi perkongsian strategik dengan syarikat berpengkalan di China, Zhejiang Geely Holding Group Co, Ltd (Geely) pada Jun lalu.

“Manfaat perkongsian strategik ini tidak akan terhad kepada warga PROTON sahaja malah kepada semua yang terlibat dalam ekosistem industri automotif.

“Ianya merangkumi perancangan untuk menambah bilangan pekerja PROTON daripada 9,600 orang kini kepada 20,000 orang dalam tempoh 10 tahun,” kata Ahmad di Dewan Rakyat hari ini.

Dalam ada itu, pekerja PROTON juga akan berpeluang untuk menyertai program pembangunan modal insan yang melibatkan pusat-pusat rekabentuk R&D dan perkilangan Kumpulan Geely yang berpengkalan di Shanghai, China; Gothenburg, Sweden; Coventry, England; Barcelona, Sepanyol dan Los Angeles, Amerika Syarikat.

Pada 24 Mei lalu, DRB-HICOM mengumumkan Geely sebagai rakan kongsi strategik PROTON dengan menandatangani Heads of Agreement dan penjualan ekuiti sebanyak 49.9%.

DRB-HICOM masih kekal sebagai pemegang ekuiti terbesar sebanyak 50.1%.

Pada 23 Jun pula, DRB-HICOM menyempurnakan perkongsian strategik tersebut menandatangani Definitive Agreement dengan Geely. – MalaysiaGazette