KUALA LUMPUR – Peluang Malaysia layak secara automatik ke Kejuaraan Konfederasi Bola Sepak Asia (AFC) Bawah 19 Tahun (B-19) 2018 tipis selepas kalah 3-0 kepada Korea Selatan pada aksi terakhir peringkat kumpulan hari ini.

Kemenangan ke atas Malaysia pada kempen kelayakan AFC B-19 Kumpulan F di Paju, Korea Selatan, itu menyaksikan pasukan tuan rumah layak secara automatik ke pusingan akhir di Indonesia. Oktober tahun depan selepas muncul juara kumpulan.

Korea Selatan menamatkan saingan dengan rekod bersih untuk mengumpul mata maksimum 12 mata diikuti Malaysia dengan sembilan, Indonesia (6), Timor Leste dan Brunei masing-meming memperoleh satu mata.

Mengikut format kelayakan, semua 10 pasukan juara Kumpulan A hingga J dan hanya lima naib juara terbaik kumpulan akan layak automatik ke pusingan akhir.

Bagaimanapun, enam pasukan naib juara terbaik akan layak sekiranya Indonesia muncul juara atau berada dalam kalangan lima pasukan terbaik naib juara kumpulan.

Pada pertemuan dengan Korea Selatan, skuad negara di bawah bimbingan Bojan Hodak ternyata bergelut untuk menyaingi barisan pemain tuan rumah yang mendahului 3-0 pada babak pertama.

Korea Selatan, yang menjaringkan 18 gol tanpa membolos gol sepanjang tiga perlawanan sebelum itu, membuka jaringan seawal minit ke-11 menerusi tandukan padu Um Wongsang untuk menewaskan penjaga gol negara, Muhammad Azri Abdul Ghani.

Asakan bertali arus Korea Selatan sekali lagi menggegarkan gawang negara kali ini menerusi Kim Jungmin yang bijak memperdayakan pertahanan negara untuk menggandakan jaringan pada minit ke-38.

Di hujung separuh masa pertama ,Korea Selatan dihadiahkan sepakan penalti setelah Shivan Pillay menjatuhkan pemain lawan dalam kotak penalti dan Cho Young Wook tidak berdepan masalah untuk meledak jaringan ketiga buat pasukannya pada minit ke-45.

Babak kedua perlawanan menyaksikan skuad negara gagal untuk mendapatkan jaringan.

Malaysia memulakan kempen kelayakan menerusi kemenangan 3-1 ke atas Timor Leste pada Selasa lalu, sebelum mencatatkan kemenangan tipis 1-0 ke atas Brunei dan mengalahkan Indonesia 4-1.-MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube : MalaysiaGazette TV
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast