Jason Lo

KUALA LUMPUR – Ketua Pegawai Eksekutif Tune Talk, Jason Lo menafikan beliau telah ditahan di Dubai atas kesalahan dadah.

Menurut theedgemarkets.com, Jason dibawa ke lokap polis di sana selepas beliau membantu rakannya yang cuba meleraikan satu pergaduhan.

Jason kemudiannya ditangkap oleh seorang polis berpakaian biasa.

“Saya ditahan di lokap dan rakan saya perlu memberi keterangan selama beberapa minggu.

“Ia satu pengalaman yang teruk tetapi tidak seteruk apabila pulang ke Malaysia dan dituduh melakukan satu kesalahan lain,” katanya dalam kenyataan kepada portal berita berkenaan.

Sebelum ini terdapat laporan berita yang mengatakan seorang CEO syarikat telekomunikasi tempatan telah ditahan sebaik tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Dubai pada 18 September lalu selepas pihak berkuasa menemui dadah yang disembunyikan di dalam bagasinya.

Beliau sebelum itu menaiki penerbangan dari Amsterdam ke Dubai.

CEO berkenaan dikatakan telah ditahan selama dua minggu di pusat tahanan lapangan terbang itu sebelum dipindahkan ke penjara pusat Al-Aweer bagi menjalani hukuman.

Beliau kemudiannya dibebaskan dan pulang ke Malaysia pada Selasa lalu.- MalaysiaGazette