MANCHESTER – Paul Pogba membayangkan rakan sepasukannya di Manchester United, Anthony Martial akan memberi impak besar kepada skuad Perancis dalam saingan Piala Dunia 2018.
Martial telah dipanggil kembali dalam skuad Didier Deschamps untuk perlawanan persahabatan menentang Wales pada awal pagi esok dan pertembungan di Jerman pada Rabu depan.
“Saya yakin dia akan kembali,” kata Pogba kepada MUTV.
“Saya juga yakin kerana dia sangat bagus dan mempunyai rekod pra-musim yang hebat. Tambahan pula pada permulaan musim, dia banyak membantu pasukan.
“Anthony berbakat besar dan dia seorang pemain terbaik yang pernah saya lihat.
“Dia masih muda dan prestasinya akan meningkat lagi serta anda akan melihat lebih banyak aksi lagi dari Anthony. Itu saya pasti,” katanya. – MalaysiaGazette