Bekas pengasas Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM), Kamarulazman Habibur Rahman

KUALA LUMPUR – Tanpa bantuan Datuk Seri Najib Tun Razak, Tun Dr Mahathir Mohamad tidak mungkin dapat mengekalkan kedudukannya sebagai Perdana Menteri dan Presiden UMNO selama 22 tahun.

Bekas pengasas Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM), Kamarulzaman Habibur Rahman menegaskan, kerana jasa besar Najib itu, Mahathir perlu berhenti memberi tekanan sebaliknya merestui segala usahanya menerajui negara ini.

“Kita kena ingat, dia (Mahathir) mempunyai masa yang lama untuk bangunkan negara ini, dia mempunyai masa dan kesetiaan orang-orang di bawahnya.

“Antara orang yang paling setia dengan Tun M semasa beliau menjadi Perdana Menteri ialah Datuk Seri Najib sendiri.

“Kalau tidak kerana Datuk Seri Najib, mungkin Tun M tewas dalam pemilihan Presiden UMNO di tangan Tengku Razaleigh pada 1988,” katanya semasa Forum PPBM Penyebab Kemusnahan Bangsa Siri 1: Penubuhan Bermotifkan Kepentingan Peribadi, hari ini.

Kamarulazman berkata, Mahathir masih mempunyai masa untuk melakukan sesuatu dengan betul termasuk menghentikan serangan peribadi dan politik ke atas Najib.

“Sudah tiba masanya Tun M menyedari bahawa dia tidak semestinya selalu betul. Dia kena bertindak bijak dalam membenarkan Datuk Seri Najib untuk menerajui negara dan memberi sokongan kepada Najib

“Ini kerana inilah orang yang memberikan sokongan padu kepadanya ketika dia menjadi Perdana Menteri dahulu,” jelasnya.

Katanya lagi, serangan untuk menjatuhkan Kerajaan Barisan Nasional (BN) hanya mengganggu usaha yang dilakukan Najib membangunkan negara dan membela nasib rakyat.

Beliau turut mengingatkan bahawa Mahathir menjadi seorang negarawan pada hari ini kerana orang Melayu sendiri yang mengangkatnya kerana jasa pembangunan dan prasarana yang disumbangkan kepada negara.

“Melayu berbangga dengan Mahathir, adakah Mahathir cemerlangkan Melayu atau Melayu yang mengangkat Mahathir jadi cemerlang?

“Saya rasa Tun M ini, Melayu terlalu terlebih menilai beliau, kita selalu melihat sesuatu dari sudut fizikal dengan apa prasarana yang disediakan dan sebagainya,” katanya lagi. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast