Pengerusi Biro Undang-Undang Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM), Datuk Hishamuddin Hashim bersama Aktivis Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM), Yusof Azmi bercakap pada sidang media khas berhubung isu Kopi Pak Belalang di pejabat PPIM, Kuala Lumpur. foto SAFWAN MANSOR, 13 NOVEMBER 2017

KUALA LUMPUR – Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM) mencabar pengurusan syarikat pengeluar Kopi Pak Belalang keluaran Classic Worldwide International Group (CWIG) untuk memberi penjelasan berhubung dakwaan berlaku penipuan kepada ahli-ahlinya.

Peguam PPIM, Datuk Hishamuddin Hashim berkata, pihaknya telah menerima banyak aduanterhadap CWIG sehingga ada diantara mangsa mendakwa terpaksa menanggung kerugian besar.

Katanya, PPIM tidak menuduh syarikat itu menipu atau mempunyai motif lain sebaliknya mahu menyelesaikan aduan yang diterima sahaja.

“Sesiapa pun yang membuat aduan maka mereka itu adalah pelanggan kita. Kami melakukan sesuatu bagi tujuan pembelaan terhadap mereka.

“Kami hanya mahu tahu sama ada ini satu skim pelaburan atau sebagainya,” katanya pada sidang media khas di sini hari ini.

Menurut Hishamuddin, PPIM tidak pernah membuat sebarang tuduhan dalam perkara-perkara tertentu terhadap syarikat terbabit sebaliknya hanya menimbulkan persoalan yang perlu dijawab bagi merungkai laporan yang diterima pihaknya.

Katanya, dalam hal ini PPIM mahu agar syarikat berkenaan memulangkan semula wang yang dijanjikan kepada ahli-ahlinya.

Dalam pada itu, Hishamuddin turut menimbulkan persoalan berhubung kenapa syarikat terbabit membuka cawangan perniagaannya di Indonesia.

Syarikat pengeluar kopi jenama Pak Belalang sebelum ini pernah mengadakan penjenamaan produk versi minuman dalam tin yang dipasarkan ke seluruh negara.

Ketua Pegawai Eksekutif dan Pengasas Classic Worldwide International Group (CWIG), Datuk Seri Dr. Rozaini Hasan menunjukkan Kopi Pak Belalang terbaru yang telah rasmikan pada Malam Legasi Jutawan ARBA 2016 di Pusat Konvensyen Ideal Shah Alam (IDCC), Selangor. foto 17 DISEMBER 2016.

Pengasas dan Ketua Pegawai Eksekutif CWIG, Datuk Seri Rozaini Hasan sebelum ini yakin segmen baharu produk syarikatnya dapat menembusi pasaran Asia.

Syarikat tersebut turut memasarkan produknya ke pasaran luar negara iaitu di Indonesia.

Selain kopi, syarikat berkenaan juga turut memperkenalkan produk Teh Musang Berjanggut dan Teh Puspa Wangi pada Februari lalu.

Sementara, Pengarah Unit Tindakan Khas (UTK) PPIM, Yusuf Azmi berkata, pihaknya kecewa dengan tuduhan CWIG yang mendakwa PPIM melakukan pencerobohan di kilang mereka di Shah Alam semalam.

Katanya, beliau dan beberapa lagi anggota UTK PPIM pergi ke kilang tersebut selepas dibawa oleh pengadu yang merasakan telah teraniaya dengan syarikat berkenaan.

“Kita bukannya pergi untuk memalukan mereka sebaliknya kita telah beberapa kali menghubungi tetapi ia tidak diendahkan.

“Sama ada perkara ini sampai ke pengetahuan Datuk Seri Dr. Rozaini kami pun tak tahu Tetapi apa yang kita lakukan adalah untuk mematahkan modus operandi jika perniagaan ini berkonsepkan multi level,” katanya.

Yusuf turut memberi jaminan pihaknya akan melakukan kerja amal selama setahun untuk membuat promosi terhadap Kopi Pak Belalang sekiranya PPIM ada membuat kesalahan selepas kes membabitkan pengguna dapat diselesaikan. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast