Menteri Kewangan II, Datuk Seri Johari Abdul Ghani bercakap kepada media selepas mempengerusikan Mesyuarat Focus Group Budget 2018 : Mengurangkan Kos Menjalankan Perniagaan di Kementerian Kewangan, Putrajaya. foto SAFWAN MANSOR, 02 oGOS 2017

KUALA LUMPUR – Menteri Kewangan II, Datuk Johari Abdul Ghani mencabar Rafizi Ramli membuktikan pelaksanaan Cukai Barang dan Perkhidmatan (GST) sejak April 2015 lalu adalah salah dan menyusahkan rakyat.

Jelas Johari, sekiranya pelaksanaan itu menyusahkan rakyat, GST pasti tidak akan dilaksanakan oleh 174 buah negara sehingga kini.

“Kalau kita tidak faham (mengenai GST) bermakna 174 negara itu pun tidak faham mengenai GST.

“Saya minta tolong (Ahli Parlimen) Pandan tolong minta kepada pegawai-pegawai bank, bank negara menyatakan bahawa GST ini salah, tolong beritahu kepada saya. Tidak ada, jangan cerita banyak,” katanya dalam sesi penggulungan Kementerian Kewangan dalam Bajet 2018 hari ini.

Ia berikutan pertanyaan asal Rafizi yang jada syarikat mikro terpaksa gulung tikar setelah pelaksanaan GST.

“Selepas GST, ada fakta bahawa inflasi dan kadar kenaikan harga di negara ini menunjukkan kenaikan selama dua tahun berturut-turut, 10 tahun (lepas) tidak macam ini,” soal Naib Presiden PKR itu.

“Kalau teori (Ahli Parlimen) Pandan, memang tidak boleh pakai mengenai GST. Saya pelik dia kata pakar ekonomi, tapi cakap macam budak sekolah,” kata Johari lagi.

Menurut Johari, pembangkang jelas tidak faham akan pelaksanaan enam peratus cukai yang dikenakan terhadap syarikat yang berpendapat lebih RM500,000 setahun sebagaimana yang disyaratkan oleh kerajaan.

Jelasnya lagi, syarikat mikro yang berpendapat RM500,000 ke bawah tidak dikenakan langsung pungutan cukai enam peratus GST.

“Mereka (pembangkang) ini banyak yang tidak faham, syarikat mikro dengan syarikat persendirian sederhana dia tidak faham.

“Dia fikir kalau syarikat persendirian sederhana pun perniagaan mikro. RM500,000 kita panggil mikro. Kita tidak kenakan GST,” katanya lagi.

Rafizi sebelum itu bertanyakan sama ada syarikat kecil atau besar perlu daftar GST untuk membolehkan kerajaan mengutip enam peratus cukai berkenaan.

Lantas Speaker, Tan Sri Pandikar Amin Mulia terus memberhentikan perbahasan mengenai isu GST.

“Isu GST ini telah lama diperdebatkan, oleh itu saya tidak benarkan lagi,” kata Pandikar. -MalaysiaGazette.