Sekumpulan penduduk menaiki jentera pembajak untuk pulang ke rumah masing-masing berikutan banjir dan taburan hujan yang luarbiasa sejak dua hari lalu ketika tinjauan lensa Malaysia Gazette di Taman Seri Murni, Sg. Dua, Pulau Pinang. foto SAFWAN MANSOR, 06 NOVEMBER 2017

PULAU PINANG – Kerajaan DAP Pulau Pinang hari ini mengumumkan tambahan peruntukan RM200 lagi wang ihsan secara one off kepada mangsa bencana banjir besar di negeri ini 4 November lalu.

Ketua Menteri, Lim Guan Eng berkata, menerusi tambahan peruntukan itu, mangsa banjir kini akan menerima RM700 berbanding RM500 seperti yang diumumkan sebelum ini.

Menurut beliau, penambahan wang ihsan itu akan melibatkan tambahan peruntukan sebanyak RM20 juta yang mana akan diberikan oleh Kerajaan DAP Pulau Pinang sekiranya derma yang dikutip daripada pelbagai pihak tidak mencukupi.

Dalam perkembangan berkaitan, Guan Eng berharap Kerajaan Persekutuan juga dapat mengumumkan bantuan kewangan kepada mangsa banjir negeri ini seperti yang diberikan kepada penduduk Kelantan ketika berdepan bencana serupa pada 2014.
Beliau berkata, sehingga kini, kerajaan negeri masih menunggu berita baik daripada Kerajaan Persekutuan berhubung bantuan kewangan untuk mangsa-mangsa banjir berkenaan.

“Kita juga harap Kerajaan Pusat boleh bayar, sekurang-kurangnya tolonglah buat pengumuman. Kita mengharapkan ada bantuan kewangan,” katanya ketika sesi penggulungan sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) di sini hari ini.

Bencana banjir yang melanda negeri ini 4 November lalu disifatkan paling buruk dalam sejarah negeri ini dengan kira-kira 100,000 penduduk menjadi mangsa selain lebih 100 kejadian pokok tumbang dan tanah runtuh dilaporkan berlaku di seluruh negeri ini.

Ekoran itu, Guan Eng menerusi program Pulau Pinang Bangkit Khamis lalu mengumumkan pemberian secara ‘one-off’ RM500 kepada mangsa banjir di negeri ini, selain pengecualian bayaran surcaj konservasi untuk pengguna domestik bagi tempoh bayaran satu pusingan (dua bulan), serta diskaun air 50 peratus kepada pengguna domestik dan 25 peratus untuk pengguna komersial.- MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube : MalaysiaGazette TV
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast