P. Kamalanathan

KUALA LUMPUR – Polis masih lagi menyiasat kes gangguan seksual yang didakwa melibatkan seorang guru sebuah sekolah Tamil, kata Timbalan Menteri Pendidikan Datuk P. Kamalanathan.

Beliau berkata, guru itu kini ditempatkan di Pejabat Pendidikan Daerah dan tidak lagi berada di kawasan sekolah.

“Kita harus membenarkan pihak polis menyelesaikan siasatan mereka sebelum tindakan lanjut diambil,” katanya pada sidang media mengenai Karnival Bahasa Tamil Peringkat Kebangsaan 2017 di bangunan Parlimen di sini, hari ini.

Beliau ditanya mengenai isu seorang guru berusia 56 tahun yang didakwa menjanjikan pekerjaan kepada seorang remaja perempuan lepasan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) dengan syarat pelajar itu mengadakan hubungan seks dengannya.

Guru itu didakwa membuat janji tersebut kepada ibu gadis berkenaan sebelum rakaman audio perbualan mereka berdurasi 8 minit 49 saat tersebar luas melalui aplikasi mesej WhatsApp.

Dalam rakaman itu, lelaki tersebut didakwa berkata dia telah membantu ramai gadis mendapatkan pekerjaan selepas mereka mengadakan hubungan seks dengannya.

Sementara itu, Kamalanathan berkata Karnival Bahasa Tamil akan diadakan buat julung kalinya di Universiti Antarabangsa Manipal, Nilai pada 22 November ini.

Ia bakal menyaksikan penglibatan pelajar India dari sekolah kebangsaan, sekolah jenis kebangsaan Tamil dan sekolah menengah kebangsaan dalam pelbagai pertandingan kesusasteraan bagi melestarikan Bahasa Tamil. – Bernama