PUTRAJAYA – Setelah hampir seminggu Jawatankuasa Eksekutif Pusat (CEC) membuat pemilihan semula, Jabatan Pendaftaran Pertubuhan (RoS) mengesahkan badan itu masih belum menerima laporan daripada parti itu.
Menurut Ketua Pengarahnya Surayati Ibrahim, DAP masih gagal mengemukakan laporan lengkap pemilihan CEC yang diadakan minggu lalu.
“Saya belum menerimanya apa-apa laporan daripada DAP,” katanya katanya dalam sidang media khas di pejabatnya hari ini.
DAP mengadakan pemilihan CEC di Shah Alam Ahad lalu, dengan seramai 1,356 daripada 2,514 perwakilan membuang undi masing-masing.
Pada 17 April 2013, RoS mengeluarkan notis arahan melarang DAP daripada membuat sebarang keputusan susulan pemilihan CEC parti itu pada 15 Disember 2012 yang didakwa wujud penyelewangan undi.
DAP akhirnya akur untuk mengadakan pemilihan semula setelah pemilihan pada 2013 lalu tidak dapat diterima berikutan DAP menggunakan senarai perwakilan 2012.
Dalam pada itu, Suriyati berkata permohonan Pakatan Harapan (PH) untuk membuat gabungan juga masih dalam proses pengesahan.
“PH belum ada lagi (apa-apa pengesahan pendaftaran),” katanya ditanya mengenai perkembangan terkini berkenaan permohonan pembangkang untuk membentuk gabungan PH.
Pengerusi PH, Tun Dr. Mahathir Mohamad pada Selasa lalu berkata beliau akan mengetuai rombongan gabungan itu ke Kementeiran Dalam Negeri bagi bertanyakan mengenai pendaftaran PH yang masih belum diluluskan RoS.
PH sebelum ini mengemukakan permohonan pendaftaran gabungan itu kepada RoS pada 24 Julai lalu. -MalaysiaGazette.