Sekolah-sekolah dijangka berdepan cabaran dalam melaksanakan Common European Framework of References (CEFR) yang menggunakan buku teks subjek Bahasa Inggeris yang diimport dari luar negara.

PETALING JAYA – Sekolah-sekolah dijangka berdepan cabaran dalam melaksanakan Common European Framework of References (CEFR) yang menggunakan buku teks subjek Bahasa Inggeris yang diimport dari luar negara.

Dalam pelan yang diumumkan Kementerian Pendidikan, buku teks Super Minds yang diimport akan digunakan sebagai buku utama manakala buku teks di bawah Kurikulum Standard Sekolah Rendah (KSSR) pula dijadikan bahan yang menyokong buku Super Minds.

Pihak sekolah telah menerima buku teks Super Minds yang berharga RM38.80 senaskah. Buku pinjaman akan diberikan kepada murid-murid.

Presiden Kesatuan Kebangsaan Guru Besar Malaysia (KGBM), Wong Shee Fatt berkata, murid tahun pertama dan kedua pada 2018 perlu menggunakan buku teks yang sama.

Walaupun mengakui penggunaan buku import menunjukkan kerajaan berpandangan jauh, Shee Fatt bagaimanapun berpendapat, pihak sekolah akan menghadapi cabaran dalam pelaksanaannya.

Katanya, setiap sekolah telah menghantar seorang guru mata pelajaran Bahasa Inggeris untuk menerima latihan selama 36 jam mengenai CEFR dan cikgu tersebut akan memberi bimbingan kepada rakan sejawat lain.

“Kami tidak tahu lagi sama ada latihan yang diberikan adalah berkesan, impaknya mungkin berkurangan dalam proses komunikasi yang berlapis.

“Cikgu yang terlatih dikehendaki memberi latihan kepada guru lain, kesempurnaan latihan mungkin terjejas,” katanya kepada Sinchew Daily.

Selain kemahiran cikgu memanfaatkan buku teks baharu itu, Shee Fatt berkata, keberkesanan proses pengajaran dan pembelajaran juga bergantung kepada jumlah murid yang ada dalam satu-satu kelas.

“Cikgu perlu mempunyai kemahiran untuk menggunakan buku ini dalam membimbing kemahiran pendengaran dan bertutur para murid,” katanya.

Beliau berharap, Kementerian Pendidikan pada masa depan akan melakukan penelitian bersama dengan KGBM dan pertubuhan pendidikan lain sebelum melaksanakan kurikulum baharu.

Walaupun berdepan cabaran, Shee Fatt setuju bahawa CEFR yang dilaksanakan di Eropah termasuk di negara seperti Jerman dan Sepanyol yang belajar bahasa Inggeris sebagai bahasa kedua adalah kurikulum yang baik.

“Kita akan mempunyai kelebihan jika menggunakan kurikulum ini, ia membolehkan murid belajar bahasa Inggeris yang tepat dan bermutu,” katanya. – MalaysiaGazette