Sultan Nazrin Muizzuddin Shah
IPOH – Sultan Perak Sultan Nazrin Shah bertitah dunia kini semakin kurang aman berbanding 10 tahun lepas, berdasarkan Indeks Keamanan Global 2017 oleh Institut Ekonomi dan Keamanan.

Sultan Nazrin menegaskan terdapat 247 peratus peningkatan dalam jumlah kematian akibat keganasan dalam beberapa dekad lepas, dan ‘tiada sebarang tanda bahawa masalah ini semakin berkurangan’.

“Keganasan mewakili ancaman yang sangat banyak dan semakin hebat terhadap keharmonian antarabangsa, menyebarkan kebimbangan dan ketidakpercayaan serta membawa penderitaan yang tidak perlu terhadap komuniti dan individu,” titah baginda ketika menyampaikan ucaptama dalam Persidangan Pemikiran dan Tamadun Islam Dunia keempat (WCIT 2017) di sini hari ini.

Persidangan dua hari mulai hari ini bertemakan ‘Keamanan Global’ dianjurkan oleh Universiti Sultan Azlan Shah, dengan dihadiri peserta dari lebih 15 negara.

Sultan Nazrin bertitah faktor utama lain yang menyumbang kepada keseluruhan penurunan selama 10 tahun itu adalah krisis buruk pelarian yang wujud sejak dekad yang lepas, kesan daripada konflik dalaman, keganasan politik dan penindasan agama.

Mengambil Myanmar sebagai contoh, Sultan Nazrin bertitah krisis Rohingya terus bertambah buruk menerusi apa yang digambarkan oleh Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu sebagai ‘contoh jelas pembersihan etnik.’

“Memang sangat sukar untuk menyelaraskan perangkaan dan imej dengan tanggapan bahawa dunia kini semakin menjadi kurang aman berbanding tahun sebelumnya,” titah baginda.

Sultan Perak menarik perhatian bahawa dunia hari ini bukan hanya berdepan dengan masalah yang terlalu lama berlarutan membabitkan pengagihan kekayaan yang tidak saksama antara golongan terkaya dan termiskin di dunia, tetapi turut menyaksikan peningkatan agihan keamanan global yang tidak saksama.

“Matlamat kita untuk mencapai keamanan global, yakni, keamanan yang terbentang luas kepada setiap warga di setiap negara di dunia kita, jelas masih terlalu jauh untuk menjadi kenyataan,” katanya.

Sultan Nazrin menegaskan bahawa ‘sebuah dunia yang benar-benar aman digambarkan oleh dua nilai Islam iaitu amanah dan inklusiviti, yakni, untuk belajar hidup bersama dengan menunjukkan belas ihsan’.

“Sambil kita meneruskan matlamat bersama untuk mencapai keamanan global, kita mesti tanamkan kedua-dua prinsip ini di dalam minda, berusaha bukan hanya untuk membasmi konflik tetapi untuk mewujudkan sebuah komuniti dunia yang lebih amanah dan inklusif yang mana setiap individu dihargai serta dihormati.

“Beta juga ingin mencadangkan agar selain menjadi matlamat akhir kepada keamanan global, amanah dan inklusiviti juga dijadikan kaedah yang mana keamanan mungkin dicapai,” titah baginda.

Mengenai WCIT 2017, Sultan Nazrin bertitah baginda percaya acara itu akan membantu dalam memandu ke arah pengwujudan lebih banyak komuniti global yang kesudahannya lebih amanah, inklusif dan aman.

— BERNAMA