Naib Ketua Pergerakan Pemuda UMNO, Yb Senator Khairul Azwan Harun berbincang sesuatu selepas menghantar memorandum bantahan kepada republik Singapura berhubung kenyataan Perdana Menterinya Lee Hsien Loong tentang Batu Putih di Suruhanjaya Tinggi Singapura, Kuala Lumpur. foto NOOR ASREKUZAIREY SALIM, 20 NOVEMBER 2017
KUALA LUMPUR – Pergerakan Pemuda UMNO Malaysia menyerahkan surat bantahan sebagai mengutuk tindakan Lee Hsien Loong semalam yang memperlekeh permohonan Malaysia untuk semakan keputusan terhadap tuntutan Pulau Batu Putih.
Naib Ketuanya, Khairul Azwan Harun hari inil berjumpa dengan Timbalan Pesuruhjaya Tinggi Singapura ke Malaysia, Mark Neo sebagai menyerahkan suara bantahan terhadap kenyataan Perdana Menteri Singapura itu.
Azwan yang juga Ahli Dewan Negara, mewakili ketuanya Khairy Jamaluddin berkata, tuduhan Hsien Loong kononnya niat sebenar tuntutan Malaysia ada kaitan dengan Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14) merupakan tuduhan tidak bertanggungjawab.
Ia boleh merosakkan hubungan baik di antara kedua-dua negara itu.
“Para pemimpin ASEAN perlu menunjukkan semangat setiakawan yang erat saling hormat menghormati menuju ke arah integrasi komuniti ASEAN.
“Segala isu berbangkit perlulah mengikut saluran diplomatik yang betul dan janganlah gunakan isu ini meraih sokongan politik.
“Dalam isu ini sangat jelas Hsien Loong menggunakan konvensyen PAP untuk memainkan isu ini semula walhal Malaysia mempunyai hak dan telah mengikut saluran dan lunas-lunas perundangan antarabangsa seperti yang diketahui umum,” katanya ketika membaca kenyataan Khairy di pekarangan Suruhanjaya di Jalan Tun Razak hari ini.
Katanya, mana-mana negara berhak menyuarakan pendapat dan menuntut hak dan jelas dalam perkara ini Malaysia tiada kaitan dengan politik dan pilihan raya di negara ini.
“Soal kedaulatan negara kita akan tegakkan dan janganlah menggeluarkan kenyataan sebegini yang boleh menegangkan hubungan akrab Malaysia Singapura yang sudah lama terjalin.
“Sebagai sebuah negara berdaulat, Malaysia telah memfailkan permphonan berkenaan pada 2 Februari 2017 lalu berdasarkan penemuan fakta baharu melalui tiga dokumen di Arkib Negara United Kingdom pada 4 Ogos 2016.
“Keputusan permohonan dalam masa enam bulan selepas penemuan fakta baharu adalah hak yang diberikan dan dipatuhi Malaysia dan permohonan kedua pada Jun lalu untuk penafsiran penghakiman bukan dibuat secara sambil lewa tanpa asas kukuh, katanya,
Dalam kenyataan sama juga, Khairy menjelaskan, semasa penemuan baharu, pilihan raya umum belum diumumkan dan pemfailan pada 2 Februari lalu sebagai memberi masa penyediaan dokumen dalam tempoh enam bulan.
“Memang mudah untuk meraih sokongan politik dengan membuat tuduhan kepada negara lain seperti mana dibuat Hsien Loong dengan kenyataan semasa Konvensyan parti PAP.
“Malaysia bukan seperti beliau sentiasa memandang serius kedaulatan negara dan bukan semata-mata untuk meraih sokongan pilihan raya atau konvensyen politik sahaja,” kata Khairy dalam kenyataan itu lagi. – MalaysiaGazette