Shahrir Abdul Samad.

KUALA LUMPUR – Kemenangan Barisan Nasional dalam proses undian belah bagi meluluskan Bajet 2018 peringkat jawatankuasa Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK) di dewan rakyat sebentar tadi bukan perkara luar biasa.

Pengerusi Majlis Ahli Parlimen Barisan Nasional (BNBBC) Tan Sri Shahrir Samad berkata, menjadi kelaziman apabila Speaker Dewan Negara memberi kemenangan kepada mana-mana pihak yang mendapat undian tertinggi meskipun hanya lebih satu undi kerana ianya tidak melanggar peraturan mesyuarat.

Sebaliknya, menurut Ahli Parlimen Johor Bahru itu, perkara yang luar biasa adalah apabila ahli-ahli parlimen pembangkang sengaja menolak Bajet 2018 peringkat KPDNKK tersebut.

“Mereka ambil bahagian berbahas tetapi kemudian mahu menolak dengan undian belah bahagian. Ini (bermakna) bukan tidak setuju, tetapi (undian) tujuan politik,” katanya kepada portal BNBBC malam tadi.

Mengulas lanjut, Shahrir berkata, tindakan ahli-ahli parlimen pembangkang yang sengaja menuntut undian belah bahagi selepas Menteri KPDNKK Datuk Seri Hamzah Zainuddin tamat menggulung perbahasan merupakan tindakan politik semata-mata daripada pihak pembangkang.

Tindakan itu dibuat setelah mereka mendapati bilangan ahli-ahli parlimen Barisan Nasional (BN) di dalam Dewan berkurangan berbanding jumlah ahli parlimen pembangkang.

Terdahulu, dalam proses undian yang mengambil masa lebih panjang daripada biasa itu, seramai 52 orang ahli parlimen BN menyokong bajet tersebut berbanding 51 yang menolak.

Dua ahli parlimen daripada Pas sekali lagi mengambil sikap berkecuali untuk tidak mengundi.

Proses undian belah bahagi petang hari ini menjadi kontorversi apabila ahli-ahli parlimen pembangkang memprotes tindakan Speaker yang didakwa sengaja melewatkan masa undian bagi memberi peluang kepada ahli-ahli parlimen BN masuk ke dalam dewan untuk mengundi.

Bagaimanapun Timbalan Speaker Datuk Seri Dr. Ronald Kiandee menegaskan, beliau tidak melanggar peraturan mesyuarat kerana di dalam peraturan itu tidak disebutkan bahawa ahli parlimen yang baharu sahaja masuk ke dewan tidak boleh dikira.

“Dalam peraturan 41, 42 dan 43 tidak ada mengatakan time frame ada bunyi loceng lebih 2 minit, tidak ada mengatakan time frame orang yang baru masuk tak boleh dikira, tak tercatat dalam (peraturan mesyuarat) itu tak boleh dikira Yang Berhormat.

“Tiada pelanggaran yang dibuat, soal lambat masuk berlaku tidak ada had masa,” katanya bagi menjelaskan keadaan itu.-MalaysiaGazette