KUALA LUMPUR – Biarpun bilangan peserta protes ‘bantah kenaikan harga minyak’ oleh Pemuda Pakatan Harapan (PH) semakin berkurangan, namun mereka masih enggan mematuhi arahan supaya bersurai.
Hasil tinjauan MalaysiaGazette mendapati bilangan peserta berkurangan kepada lima orang berbanding di sebelah paginya seramai tujuh orang.
Menurut Naib Ketua Pemuda Parti Amanah Negara (PAN), Shazni Munir, protes itu akan diteruskan sehingga harga baru bahan api itu diumumkan esok.
“Hujan lebat ketika ini. Kami masih meneruskan flashmob di depan Parlimen walau tanpa tanpa tempat berteduh.
“Tanpa khemah, kami akan terus di sini. Kami tak mahu bergaduh dengan penguatkuasa atau sesiapa sahaja penjawat awam,” katanya hari ini.
Protes yang bermula jam 1 pagi tadi disertai 20 peserta dan jumlah itu berkurangan kepada 7 orang sejak jam 9 pagi tadi.
Terdahulu, mereka diarahkan oleh DBKL supaya menutup satu-satunya khemah yang dipasang untuk berteduh di persimpangan Jalan Parlimen.
“Kami hanya mahu satu, subsidi RM1 billion dikembalikan dan harga minyak turun,” tuntut mereka.
Protes ini diadakan bagi mendesak kerajaan menurunkan harga minyak yang tertinggi pernah dicatatkan sejak harga apungkan mingguan diperkenalkan.
KPDNKK pada Rabu lalu menetapkan harga bagi RON95 RM2.38 seliter, RON97 RM2.66 seliter dan Diesel RM2.25 seliter. -MalaysiaGazette.