Gambar hiasan

KUALA LUMPUR – Sukar untuk menjangka bilakah waktu yang paling sesuai untuk Bank Negara Malaysia (BNM) menaikkan kadar faedah kerana pelbagai faktor perlu diambil kira termasuklah impaknya kepada kos sara hidup rakyat.

Pengarah Eksekutif Institut Penyelidikan Ekonomi Malaysia (MIER), Zakariah Abdul Rashid berkata, buat masa sekarang semua pihak sedang memantau rapat perkembangan global terutamanya hasrat Rizab Persekutuan Amerika Syarikat untuk menaikkan kadar faedah mereka.

“Kalau Amerika Syarikat menaikkan kadar faedah mereka, BNM mempunyai tugas penting untuk membuat keputusan.

“Ia perlu memantau pergerakan keluar dana dari Malaysia sekiranya perkara itu berlaku, sudah semestinya ia adalah masa yang sesuai untuk menaikkan kadar faedah.

“Tetapi dalam masa yang sama, BNM juga perlu meneliti kesan daripada keputusan tersebut kepada permintaan domestik.

“Jika dilihat kepada inflasi mungkin kenaikan Kadar Dasar Semalaman (OPR) adalah cara untuk mengatasinya tetapi BNM perlu berhati-hati sebelum membuat sebarang pengumuman.

“Ini kerana ia mungkin akan memberi kesan kepada pengguna yang ketika ini juga sedang berhadapan dengan kos sara hidup yang tinggi,” katanya sambil menambah peningkatan inflasi pada ketika ini sukar untuk ditentukan secara muktamad sama ada disebabkan oleh tarikan permintaan ataupun tekanan kos.

Agak mudah untuk membuat keputusan menaikkan OPR sekiranya ia disebabkan oleh tarikan permintaan namun pada ketika ini, ianya masih samar, jelasnya.

“Data semasa tidak menunjukkan sebarang petanda. Tambahan pula kadar inflasi masih berada dalam keadaan OK dan ringgit pula terus mengukuh.

“Mungkin petunjuk akan lebih ketara pada suku pertama tahun hadapan,” katanya lagi.

Zakariah berkata demikian semasa sidang media selepas membentangkan Tinjauan Masa Hadapan Ekonomi Malaysia 2017-2018 sempena Persidangan Ekonomi Malaysia 2017 di sini hari ini.

Dalam pada itu, MIER melakukan semakan menaik sebanyak 0.2 mata peratusan kepada pertumbuhan ekonomi negara pada tahun ini kepada 5.6 peratus.

Ini merupakan semakan kali kedua bagi unjuran pertumbuhan tahun ini selepas prestasi suku ketiga 2017 menunjukkan angka melebihi jangkaan.

Zakariah Abdul Rashid pertumbuhan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) dipacu terutamaya oleh permintaan domestik dan disokong oleh pengukuhan permintaan luaran.

“Permintaan domestik dijangka berkembang sebanyak lima peratus, meningkat 0.2 mata peratusan berbanding semakan kedua kami.

“Penggunaan swasta dijangka berkembang lebih pantas pada 6.2 peratus, naik 0.1 mata peratusan berbanding unjuran sebelumnya.

“Unjuran pertumbuhan bagi penggunaan awam pula disemak menaik sebanyak 0.5 mata peratusan,” katanya.-MalaysiaGazette