Home Dunia Askar Korea Utara parah ditembak sudah sedar

Askar Korea Utara parah ditembak sudah sedar

Seorang askar tentera Korea Utara yang dikejarkan ke hospital selepas ditembak lima kali ketika menyeberangi Zon Penampan Tentera (DMZ) minggu lalu. foto Agensi

SEOUL – Seorang askar Korea Utara yang parah selepas ditembak sekurang-kurangnya lima kali sudah sedarkan diri.

Sebaik sahaja sedar, dia minta untuk menonton televisyen, lapor agensi berita Yonhap.

“Kami percaya beliau sudah melepasi saat-saat kritikal,” kata seorang pegawai kerajaan.

Askar itu melarikan diri di Zon Penampan Tentera minggu lalu dan ditembak lebih daripada 40 kali sebelum tiba dengan selamat.

Kakitangan perubatan mengatakan bahawa dia mengalami trauma akibat daripada pengalaman yang dilaluinya.

“Bagi memastikan kestabilan psikologinya, bendera-bendera Korea Selatan diletakkan di dalam dinding bilik rawatannya di hospital,” lapor Yonhap.

Identiti askar itu masih belum didedahkan.

Askar itu melintasi bahagian Korea Selatan dalam Kawasan Keselamatan Bersama (JSA) di perkampungan Panmunjom pada 13 November lalu.

Kira-kira 1,000 orang dari Korea Utara melarikan diri ke Korea Selatan setiap tahun – tetapi mereka yang menggunakan Zon Penampan Tentera (DMZ) adalah sangat sedikit. DMZ merupakan salah satu lokasi yang dikawal ketat di dunia.

Ia lebih luar biasa bagi orang Korea Utara untuk menyeberang JSA, yang merupakan tarikan pelancong dan satu-satunya bahagian DMZ yang mana kedua-dua angkatan itu bersemuka.

Korea Utara dan Korea Selatan secara teknikalnya masih berperang, sejak konflik antara mereka berakhir pada 1953 dengan gencatan senjata dan bukan perjanjian damai formal.

Seoul berkata, lebih daripada 30,000 warga Korea Utara telah membelot ke Selatan sejak berakhirnya Perang Korea pada tahun 1953.

Majoriti pembelot melarikan diri melalui China, yang mempunyai sempadan terpanjang dengan Korea Utara dan lebih mudah untuk menyeberang daripada DMZ yang sangat dilindungi.

China walaupun menganggap pembelot sebagai pendatang haram dan bukannya pelarian dan sering memaksa mereka pulang. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast