KUALA LUMPUR – Felda Global Ventures Berhad (FGV) sedang mengintai peluang untuk membeli ladang baharu yang belum dibangunkan di Kalimantan melalui hasil pelupusan saham dalam AXA Affin.
Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutifnya, Datuk Zakaria Arshad berkata, pihaknya sedang berbincang dengan pihak terbabit namun enggan mengulas lanjut.
“Pada dasarnya pelupusan saham AXA Affin itu sudah diluluskan dan dijangka selesai pada akhir tahun ini,” katanya pada sidang akhbar selepas mengumumkan prestasi kewangan suku ketiga FGV di sini.
Pada September lalu, Affin Holdings Bhd memaklumkan telah mendapat lampu hijau dari Bank Negara Malaysia untuk membeli 7.07 peratus kepentingan AXA Affin General Insurance Berhad daripada Felda Marketing Services Sdn Bhd pada harga RM99.09 juta dalam bentuk tunai.
Zakaria bagaimanapun berkata, jumlah jualan saham itu melebihi RM100 juta.
Dalam pada itu, FGV meramalkan harga minyak sawit mentah (MSM) lebih rendah antara RM2,500 hingga RM2,700 pada separuh pertama tahun depan.
Penurunan harga itu disebabkan oleh pemulihan pengeluaran kelapa sawit dan persaingan daripada minyak soya.
Katanya, pengeluaran tandan buah segar (FFB) juga dijangka lebih tinggi pada tahun depan kepada 4.85 juta metrik tan.
Mengenai kesan La Nina ke atas hasil ladang FGV, Zakaria berkata, kesannya adalah sedikit tidak seperti fenomena El Nino. – MalaysiaGazette