HARARE – Emmerson Mnangagwa bakal melakukan kemunculan semula dalam arena politik Zimbabwe apabila mengangkat sumpah sebagai presiden hari ini, lapor Reuters.
Mnangagwa yang juga bekas Naib Presiden di bawah Rejim MUgabe yang dipecat sebelum ini akan menjadi presiden yang diminati rakyat negara itu selepas pemimpin berkuku besi, Robert Mugabe diarah berundur oleh tentera negara itu, sekali gus menamatkan pemerintahannya selama 37 tahun.
Mugabe, 93, yang memimpin negara sejak kemerdekaan pada tahun 1980 berundur pada Khamis selepas tentera negara itu merampas kuasa dan mengarahkan parti Zanu-PF tidak menyokong pemimpin kuku besi itu.
Kini Mnangagwa sebagai pemimpin baharu disifatkan sebagai pembawa demokrasi berwajah baharu untuk rakyatnya.
“Rakyat telah bersuara. Suara rakyat adalah suara tuhan,” kata Mnangagwa di hadapan ratusan ribu penyokongnya semalam.
Pada Khamis, Mnangagwa menggesa rakyat supaya tidak bertindak ganas.
Mugabe dijamin keselamatan di negaranya sendiri setelah berundur, menurut sumber terdekat dengan pasukan perunding pada Khamis.
Beberapa penyokong tegar Mnangagwa menggesa kerajaan mengambil tindakan ke atas Kumpulan G40 yang menyokong Mugabe dan isterinya yang berbelanja boros wang rakyat untuk membeli belah.
Tindakan boros Mugabe dan isterinya didakwa mengakibatkan kadar pengangguran di Zimbabwe sangat kritikal, pada paras 90 peratus.
Menurut Reuters, membangunkan semula ekonomi negara dan menyuntik semula keyakinan pelabur di atas Zimbabwe menjadi agenda utama Mnangagwa.
Mnangagwa diberi panggilan mesra ‘Ngwena Shona’ atau Buaya, seekor binatang berani yang digeruni di Zimbabwe.
Manakala pembangkang di negara itu optimis perubahan demokrasi di bawah Mnangagwa tidak akan mengikut penjajahan Mugabe yang disifatkan sebagai rejim syaitan dan rasuah. – MalaysiaGazette