KUALA LUMPUR – Spekulasi serta fitnah pembangkang yang menuduh kerajaan hanya retorik dalam menempatkan 1,500 tempat kepada pelajar-pelajar berketurunan India untuk mengikuti program Matrikulasi adalah tidak benar sama sekali.
Sebaliknya, tawaran kepada pelajar India sudah hampir mencapai mencapai sasaran 1,500 itu kata Pengarah Seksyen Pendidikan dan Pembangunan Belia Unit Pembangunan Sosioekonomi Masyarakat India (SEDIC), Nagaiah Velu.
Menurut Nagaiah, agak mengecewakan kerana trend permohonan pelajar untuk memasuki program Matrikulasi dan Politeknik pada tahun 2016 menunjukkan bilangan permohonan semakin berkurangan berbanding tahun 2017.
Jelasnya, pelajar India sepatutnya lebih prihatin mengenai peluang yang disediakan khas untuk pelajar India melanjutkan pelajaran mengikuti kursus Matrikulasi.
Kementerian Pendidikan Malaysia melalui Pejabat Timbalan Menteri Pendidikan 1 telah melakukan yang terbaik untuk mencapai sasaran tawaran 1500 pelajar ini dan usaha tersebut menampakkan hasil di mana seramai 1479 orang telah menerima tawaran tersebut dan telah mengikuti program Matrikulasi KPM pada tahun 2017.
“Jangan terpedaya dengan segala macam tohmahan serta fitnah yang ditaburkan oleh segelintir pihak”.
“Aspirasi Yang Amat Berhormat, Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak dan harapan masyarakat India untuk mencapai sasaran kemasukan pelajar India ke IPTA sebanyak tujuh peratus hanya akan menjadi realiti sekiranya kuota 1500 ini dipenuhi dan dibantu oleh kelayakan pelajar melalui program-program lain seperti Tingkatan 6 (STPM) dan program Asasi.
“Semua pelajar India boleh memohon menggunakan keputusan peperiksaan dalaman sekolah (percubaan) dan jika pelajar tidak membuat permohoan ini dalam tempoh yang telah ditetapkan, mereka tidak akan ditawarkan dan tidak akan berpeluang mengikuti program Matrikulasi walaupun mempunyai keputusan rasmi yang cemerlang sebelum 30 November ini.
“Pelajar hanya perlu mendapatkan pin di bank Simpanan Nasional (BSN) dan membuat permohonan secara online dengan menggunakan keputusan percubaan. Kita risau, ramai pelajar tidak mempunyai maklumat ini.
“Kita juga risau ada segelintir daripada mereka sebenarnya menunggu untuk memohon Matrikulasi dengan menggunakan keputusan SPM yang akan diumumkan pada bulan Mac atau April tahun hadapan.
“Jika buat permohonan ketika itu, anda sudah terlambat walaupun anda mendapat keputusan cemerlang. Permohonan perlu dibuat sebelum tarikh tutup. Para pendidik dan juga ibu bapa juga perlu memainkan peranan penting dalam perkara ini bagi menyalurkan maklumat sebegini kepada pelajar serta anak-anak anda,” tegasnya.
“Memang senang untuk segelintir pihak mengkritik dan menyoal inisiatif kerajaan namun kita juga sedang sedaya upaya memastikan yang terbaik bagi pelajar India tetapi peluang yang diberikan perlu direbut dan digunakan dengan sebaik mungkin,” katanya kepada MalaysiaGazette ketika di temui baru-baru ini.
Tambah Nagaiah, para pelajar dan pendidik perlu sentiasa prihatin dengan maklumat dan peluang semasa agar dapat dimanfaatkan oleh pelajar-pelajar berkenaan dan memastikan tidak ada seorang pun pelajar yang ketinggalan atau tercicir peluang tersebut.
Katanya, semua maklumat berhubung permohonan Matrikulasi dan politeknik bagi pengambilan sesi 2018 akan dimaklumkan kepada sekolah dari semasa ke semasa.
“Adalah menjadi tanggungjawab para pendidik untuk memainkan peranan yang lebih menyeluruh bagi mempastikan maklumat-maklumat tersebut sampai kepada para pelajar yang berkenaan.
“Tidak ada isu kerajaan atau pihak-pihak tertentu yang sengaja tidak memberikan tempat kepada pelajar India untuk masuk ke Matrikulasi. Ini tidak benar dan tidak boleh sesekali diterima.
“Memang ada pihak di luar sana yang akan cuba mempolitikkan isu seperti ini untuk sengaja membakar sentimen perkauman walaupun pada hakikatnya kerajaan tidak akan sesekali berkompromi dalam perkara seperti ini. Kita juga perlu merebut peluang yang diberikan,” katanya. – MalaysiaGazette