Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi hadir mempengerusikan Mesyuarat Majlis Sosial Negara di Bangunan Perdana Putra, Putrajaya. foto IQBAL BASRI, 24 NOVEMBER 2017

PUTRAJAYA – Sekolah aliran tahfiz di seluruh negara digesa untuk mengunapakai kurikulum kebangsaan berdaftar dengan Kementerian Pendidikan Malaysia.

Itu antara syor terbaharu daripada Mesyuarat Jawatankuasa Peringkat Tertinggi Pasukan Petugas Khas Sekolah-sekolah Tahfiz dalam mesyuarat kali kedua hari ini.

Menurut Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi yang mempengerusikan mesyuarat tersebut, perkara itu perlu digunapakai oleh sekolah aliran tahfiz di negara ini agar selaras dengan Akta 550.

“Satu usaha bersepadu antara Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM), Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim), pihak berkuasa agama negeri serta persatuan tahfiz perlu dilaksanakan untuk menggalakkan serta memastikan institusi-institusi tahfiz yang melaksanakan kurikulum kebangsaan berdaftar dengan KPM selaras dengan Akta Pendidikan 1996,” katanya dalam satu kenyataan.

Hadir pada mesyuarat berkenaan antaranya Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Jamil Khir Baharom dan Menteri Pembangunan Wanita Keluarga dan Masyarakat, Datuk Seri Rohani Abdul Karim, Menteri Kesejahteraan Bandar, Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Tan Sri Noh Omar.

Ahmad Zahid berkata, mesyuarat ini diadakan bertujuan untuk meninjau tindakan yang diambil semasa mesyuarat yang diambil oleh agensi berkaitan terhadap keputusan yang telah dipersetujui semasa mesyuarat kali pertama pada September lalu.

Dalam pada itu, Ahmad Zahid berkata, Kabinet telah meluluskan peruntukan tambahan RM30 juta bagi proses pembaikan institusi tahfiz di negara ini.

“Mesyuarat Jemaah Menteri 4 Oktober lalu, telah bersetuju memperuntukkan RM30 juta sebagai tambahan kepada RM30 juta yang telah diumumkan oleh Perdana Menteri semasa pembentangan bajet yang lalu untuk memperbaiki tahfiz institusi di seluruh negara untuk tahun ini,” katanya.

Peruntukan secara ‘one off’ itu akan disalurkan kepada Unit Penyelarasan Pelaksanaan (ICU), Jabatan Perdana Menteri untuk proses pengagihan.

Malah penambahbaikan itu perlu diberi perhatian serius bagi memastikan pembaikan dibuat menepati spesifikasi yang telah ditetapkan oleh Jabatan Bomba dan Penyelamat.

Semasa perbentangan Bajet 2018, Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak telah menyalurkan peruntukan berjumlah RM50 juta kepada GiatMara bagi membaik pulih dan menyelenggarakan sistem pendawaian di semua institusi tahfiz yang berdaftar di seluruh negara.

Mesyuarat Jawatankuasa Peringkat Tertinggi Pasukan Petugas Khas Sekolah-sekolah Tahfiz ditubuhkan selepas insiden hitam kebakaran pusat tahfiz Darul Quran Ittifaqiyah di Jalan Keramat Ujung, Kuala Lumpur yang mengorbankan 23 nyawa pada 15 September lalu. – MalaysiaGazette.