Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi mengetuk gong sebagai gimik perasmian Persidangan Agung Tahunan Gabungan Pelajar Melayu Semenanjung ke-63 di Kompleks Tabung Haji Kelana Jaya, Selangor. foto IQBAL BASRI, 25 NOVEMBER 2017.

PETALING JAYA – Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi memberi amaran kepada Kementerian Pendidikan dan Kementerian Pengajian Tinggi agar tidak sewenang-wenangnya mengubah dasar atau sistem pendidikan mengikut kehendak sendiri.

Katanya, kedua-dua kementerian berkenaan tidak boleh menjadikan pelajar sebagai makmal uji kaji dengan sistem baharu, sedangkan kaedah pengajian lama belum dapat difahami sepenuhnya.

“Menteri berubah tidak semestinya dasar dan sistem pengajian sedia ada perlu diubah.

“Saya harap menteri sekarang (Datuk Seri Mahdzir Khalid – Menteri Pendidikan dan Datuk Seri Idris Jusoh – Menteri Pengajian Tinggi) tidak berbuat demikian.

“Mereka boleh teruskan sistem pengajian sedia ada agar pelajar tidak dibebani dengan kaedah baharu yang jauh lebih sukar untuk dipelajari,” katanya.

Beliau berkata demikian berucap merasmikan Persidangan Agung Tahunan Gabungan Pelajar Melayu Semenanjung (GPMS) Ke-63 Tahun 2017 di Kompleks Tabung Haji Kelana Jaya di sini, hari ini.

Turut hadir, Timbalan Menteri Luar, Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican dan mantan Presiden GPMS, Datuk Suhaimi Ibrahim.

Menurut Ahmad Zahid, beliau bersetuju dengan cadangan GPMS agar ditubuhkan Suruhanjaya Pendidikan yang akan mengungguli keseluruhan sistem pendidikan termasuk menerajui Kementerian Pendidikan dan Kementerian Pengajian Tinggi.

“Saya setuju cadangan itu. Menteri harus patuh dengan keputusan suruhanjaya ini yang dicapai melalui musyawarah kalangan pakar yang berada dalam suruhanjaya itu.

“Saya tidak salahkan menteri dahulu, tetapi perubahan sistem ini sangat menyusahkan anak-anak kita,” tegasnya.

Dalam ucapannya juga Ahmad Zahid memuji trend kepimpinan GPMS masa kini yang berjaya meneruskan kesinambungan terdahulu sehingga ia disegani oleh pihak lain.

Ujar beliau, GPMS memperjuangkan agenda Melayu tidak bermakna mereka benci kepada bangsa lain, begitu juga dalam mempertahankan bahasa kebangsaan tidak bererti benci kepada bahasa lain.

“Kita patut akur dan patuh apa yang terkandung dalam perlembagaan negara. Jangan ada mana-mana pihak cuba mengapi-apikan isu perkauman dan bahasa ini secara keterlaluan sehingga membangkitkan kemarahan pihak lain,” katanya.

Beliau juga turut menegur sikap segelintir pemimpin yang hanya menganggap pemerintahan di zamannya sahaja elok dan baik, sedangkan di era penggantinya tidak baik.

“Sepatunya pemimpin lama menghormati pemimpin baharu dan pemimpin baharu menyayangi pemimpin lama.

“Tapi ada orang tidak mahu pijak di bumi nyata. Dia hanya lihat bintang di langit, lupa rumput di bumi. Sepatutnya kita hargai bumi yang kita pijak,” katanya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast