KUALA LUMPUR – Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang menyifatkan tindakan beberapa negara memutuskan hubungan dengan Qatar dan mengeluarkan senarai baru pengganas bukan perkara mengejutkan.
Ini kerana, kata beliau, negara berkenaan turut menyenaraikan organisasi Islam yang lain seperti Kesatuan Ulamak Islam Sedunia dan Majlis Islami sebagai pengganas.
“Selain itu, beberapa tokoh yang terkenal dengan sikap sederhana mereka terhadap pemahaman Islam juga turut disenaraikan sebagai pengganas,” katanya dalam kenyataan kepada media di sini, hari ini.
Pada Jumaat lalu, empat negara iaitu Arab Saudi, Mesir, Emiriah Arab Bersatu, mengisytiharkan Kesatuan Ulamak Islam Sedunia sebagai kumpulan pengganas.
Abdul Hadi merupakan Naib Presiden Kesatuan Ulamak Islam Sedunia.
Menurut Abdul Hadi, negara yang mengeluarkan senarai pengganas itu telah mengamalkan politik peneutralan hubungan dengan Israel dan negara dalam rangkaian Mason – Zionis Antarabangsa.
Beliau berkata, pendekatan politik seperti itu umpama kapal berlayar sesat di lautan samudera yang luas.
“Mereka tidak mempunyai jatidiri untuk membuat keputusan secara bebas berpandukan nilai mulia walaupun sudah lama melalui zaman kegelapan dan penindasan yang sepatutnya menjadi pengajaran kepada mereka,” katanya.
Abdul Hadi berkata, walaupun negara itu terkenal dengan kekayaan dari sudut sumber buminya, tetapi mereka sebenarnya miskin integriti serta sahsiah.
“Mereka turut hilang keagungan serta kemuliaannya. Lebih malang, mereka juga mengubah pendirian mereka mengikut hawa nafsu sehingga menjadi lemah di hadapan orang kafir, tetapi bersikap keras ke atas orang beriman dan memuliakan ‘tetamu’ Zionis melebihi saudara seagama.
“Bahkan lebih parah, mereka telah bertindak keras ke atas negara yang seagama dengannya hanya kerana berbeza pendapat,” katanya. – MalaysiaGazette