KUCHING – Sebuah vesel membawa muatan 3,700 tan minyak sawit bernilai kira-kira RM18.5 juta dalam perjalanan dari Bintulu ke Butterworth, dirompak di perairan Singkawang, Indonesia pada Rabu lalu.

Timbalan Ketua Pengarah (Operasi) Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) Laksamana Madya Maritim Datuk Mohd Taha Ibrahim berkata vesel Baj Ever Omega milik Syarikat Pengangkutan Kekal Sdn Bhd itu sedang ditunda oleh sebuah bot tunda Ever Prosper milik syarikat yang sama berlepas dari Bintulu pada Sabtu lalu (18 Nov) dan dijadual tiba ke Butterworth Ahad ini (26 Nov). Beliau berkata APMM telah dimaklumkan mengenai kehilangan bot tunda Ever Prosper dan Baj Ever Omega daripada Regional Cooperation Agreement On Combating Piracy and Armed Robbery (Recapp), pukul 7.08 malam dan daripada syarikat tersebut pada pukul 7.10 malam.

“Semasa kejadian kira-kira 4 pagi itu, empat kru bot tunda Ever Prosper dan enam kru Baj Ever Omega telah diikat. Baj Ever Omega bersama enam kru iaitu lima warga Indonesia dan seorang warga India telah ditunda oleh bot tunda yang tidak dikenali ke lokasi lain.”

“Manakala bot tunda Ever Prosper bersama empat kru telah ditinggalkan perompak, dan mereka berjaya melepaskan diri seterusnya belayar menuju ke perairan Johor,” katanya dalam satu kenyataan.

Mohd Taha berkata berikutan aduan itu, APMM segera bertindak menghubungi pihak berkuasa Indonesia menerusi jaringan komunikasi khas iaitu Western Fleet Quick Response (WFQR) yang menghubungkan pegawai operasi Maritim Malaysia secara terus kepada pegawai operasi pihak berkuasa maritim Indonesia, meminta kerjasama pihak berkenaan untuk mengesan dan menyelamatkan baj yang hilang.

“Tindakan ini diambil selaras dengan prosedur operasi semasa Maritim Malaysia bagi menangani kes pelanunan di laut. Pada masa yang sama, Pusat Operasi Maritim (Pomar) APMM di Putrajaya telah melakukan tindakan mengesan bot tunda menerusi sistem pengesanan kapal berdasarkan nombor Maritime Mobile Service Identity (MMSI) bot tunda tersebut.”

“Semakan mendapati, sistem Automatic Indentification System (AIS) bot tunda Ever Prosper telah dimatikan di perairan Bintulu mulai 18 Nov pada pukul 7.12 malam. Sistem AIS bot tunda berkenaan telah diaktifkan semula pada 23 Nov pada 8.39 malam di Tanjung Pengelih, Johor,” katanya.

Beliau berkata semalam kira-kira pukul 6 petang, pihak Indonesia telah memaklumkan mereka menjumpai Baj Ever Omega bersama enam kru dalam keadaan selamat namun muatan telah hilang bersama perompak.

Katanya bot APMM dari Daerah Maritim Sedili, Johor telah mengiringi bot tunda Ever Prosper bersama empat kru warga Indonesia ke jeti Tanjung Pengelih untuk siasatan lanjut.

“Baj Ever Omega akan ditunda ke Tanjung Pinang, Indonesia oleh kapal Tentera Negara Indonesia. Pasukan forensik APMM Putrajaya telahpun digerakkan ke Tanjung Pengelih.”

“APMM juga akan menjalankan siasatan bersama pihak Indonesia berikutan kejadian rompakan telah berlaku dalam perairan Indonesia,” katanya.

Sementara itu, Mohd Taha berkata berdasarkan rekod kejadian rompakan minyak sawit ke atas bot syarikat tersebut adalah merupakan kejadian yang keempat.

Menurut beliau, dua kejadian rompakan pada tahun lepas telah berlaku di perairan Bintulu iaitu pada 3 Jun melibatkan bot tunda Ever Prosper dan Baj Ever Dignity, dan 25 Okt melibatkan bot tunda Even Ocean Silk dan Baj Ever Giant.

“Dalam kedua-dua kejadian, jumlah minyak sawit yang telah dirompak ialah kira-kira 5,449 tan.”

“Susulan beberapa kejadian yang berlaku ke atas vesel syarikat yang sama. APMM Wilayah Maritim Sarawak mewujudkan saluran komunikasi khas dengan syarikat berkenaan supaya bantuan boleh diberi dengan segera.”

“Malangnya dalam kejadian Rabu lepas, saluran komunikasi khas itu tidak digunakan untuk memaklumkan atau mendapatkan bantuan APMM lebih awal,” katanya.- BERNAMA