KUALA LUMPUR – Perjalanan hampir lima jam dari Kuala Nerang, Kedah ke Kuala Lumpur, tidak menghalang Rosman Bahari, 47, untuk membawa anak-anaknya berkunjung ke Ekspo Negaraku 2017.
Menurut bapa kepada lima anak itu, peluang cuti sekolah yang baru sahaja bermula hari ini di Kedah, tidak dilepaskan beliau dan keluarga dengan mengambil kesempatan untuk mengunjungi ekspo ini.
Perkara itu dilakukan setelah menziarahi adik perempuannya yang kini menetap di ibu negara.
“Saya datang ziarah adik, lalu ambil kesempatan untuk datang ekspo ini. Saya tidak pernah sampai ke sini.
“Tak tau kata ada ekspo di Dataran Merdeka ni. Saja mai bawak anak-anak jalan-jalan,” katanya ketika ditemui MalaysiaGazette.
Biarpun mengharungi perjalanan yang panjang, namun ujarnya penat lelah itu hilang melihat kegembiraan anak-anaknya yang terpesona dengan fasiliti yang dipamerkan di sini.
“Kebetulan ada kesempatan datang sini. Ekspo ini memang bagus untuk tambah pengetahuan anak-anak saya mengenai perancangan masa depan negara.
Ekspo Negaraku 2017 yang masuk hari ke 12 hari ini disifatkan sebagai pameran infrastruktur terbesar dalam memaparkan pembangunan terkini dan perancangan akan datang kerajaan.
Ekspo pertama seumpamanya ini anjuran Unit Perancang Ekonomi (UPE), Jabatan Perdana Menteri dan akan berlangsung selama sebulan di Dataran Merdeka dari pukul 10 pagi hingga 10 malam dan masuk adalah percuma. -MalaysiaGazette.