CHERAS – Mualaf tidak melepaskan peluang untuk membawa anak-anak mereka menyertai program berkhatan beramai-ramai anjuran Bahagian UMNO Cheras supaya mereka dapat merasai pengalaman yang telah menjadi sebahagian budaya masyarakat Melayu beragama Islam.
Upacara berkhatan secara beramai-ramai kebiasaannya dimulakan dengan kanak-kanak akan dimandikan atau mereka mandi di dalam sungai sebelum dikhatankan.
Abu Bakar Abdullah, 30, membawa anaknya berusia enam tahun untuk berkhatan bagi merasai pengalaman yang tidak dilaluinya ketika zaman kanak-kanak.
“Saya tidak melalui pengalaman berkhatan beramai-ramai seperti ini jadi saya bawa anak untuk merasai kemeriahan berkhatan dengan rakan-rakan sebayanya yang lain,” kata Abu Bakar yang memeluk Islam pada usia 24 tahun.
Abu Bakar selepas memeluk Islam menjalani proses berkhatan di klinik swasta dan tidak ada pengalaman berkhatan bersama rakan-rakan yang sebayanya.
Selain itu, Abu Bakar juga berkata program anjuran Bahagian UMNO Cheras amat baik kerana kos untuk berkhatan sekarang mahal dan dengan caj RM50 ia sangat meringankan beban penjaga.
“Kos yang dikenakan juga amat murah, kalau buat di klinik terlalu mahal,” katanya lagi yang bekerja sebagai mekanik di ibu kota.
Dalam pada itu, seorang lagi bapa, Mohd Aiman Chong Abdullah, 39, membawa dua anak lelakinya yang berusia 11 dan 12 tahun untuk berkhatan secara beramai-ramai bagi melihat adat resam orang Melayu yang sejak zaman berzaman mengadakan majlis sedemikian.
“Saya dahulu tidak merasai majlis berkhatan seperti ini, saya bawa dua anak untuk mereka lihat dan merasai keseronokan berkhatan beramai-ramai ini,” katanya.
Mohd Aiman juga mengalu-alukan program seperti ini diadakan setiap tahun kerana ia juga dapat mengeratkan hubungan sesama masyarakat setempat.
“Hubungan sesama masyarakat juga semakin rapat dan akrab, rata-rata yang datang hari ini merupakan rakan satu taman yang membawa anak mereka untuk berkhatan,” katanya lagi yang sudah 20 tahun memeluk Islam dan mempunyai dua lagi anak lelaki.
Kira-kira 133 kanak-kanak menyertai program khatan beramai-ramai yang diadakan di perkarangan pejabat UMNO Cheras.
Peserta pada awalnya dimandikan dengan semburan air daripada pihak bomba dan menyalin kain sarung bersiap-sedia untuk menjalani upacara berkhatan. – MalaysiaGazette