JAKARTA – Agensi Bencana Indonesia menaikkan amaran tahap tertinggi iaitu empat ke atas gunung berapi, Gunung Agung di Bali.
Reuters melaporkan, pihak berkuasa turut mengarahkan penduduk yang berada dalam lingkungan lapan hingga sepuluh kilometer di sekeliling kawasan berkenaan supaya berpindah dengan segera.
“Debu dan letupan perlahan yang kadang-kadang dapat didengari pada jarak 12 kilometer dari puncak.
“Api dapat dilihat pada waktu malam yang menunjukkan kemungkinan letupan berlaku pada bila-bila masa.
“Dengan jangkaan kemungkinan dan risiko bencana Pusat Gunung Berapi dan Pencegahan Bahaya Geologi (PVMBG) menaikkan amaran dari tiga kepada empat bermula jam 6 pagi pada waktu tempatan,” katanya dalam satu kenyataan.
Semalam, syarikat penerbangan tambang murah Air Asia Bhd dalam satu kenyataan memaklumkan pihaknya membatalkan penerbangan ke beberapa destinasi termasuk Bali dan Lombok.
Pembatalan itu dibuat berikutan pengaktifan gunung berapi Gunung Agung di Bali.
Menerusi kenyataan itu, Air Asia memberitahu, mereka kini sedang dalam penyelarasan dengan pihak berkuasa bagi menjalankan penilaian risiko untuk memastikan keselamatan operasinya. – MalaysiaGazette
http://malaysiagazette.com/blog/2017/11/26/airasia-batal-penerbangan-ke-bali-dan-lombok/