KUALA LUMPUR – Speaker Dewan Rakyat, Tan Sri Pandikar Amin Mulia, hari ini mencabar mana-mana pihak termasuk mana-mana ahli parlimen yang mahu berdebat dengannya berkenaan isu Perjanjian Malaysia 1963.
Dalam Majlis Pelancaran Buku Berpisah Tiada di Bangunan Utama Parlimen hari ini, katanya, beliau membuat cabaran itu kerana tidak mempunyai kuasa untuk membenarkan isu Perjanjian Malaysia dibahas pada Sidang Dewan Rakyat.
“Saya pro Sabah dan Pro Malaysia. Kemasukan Sabah dan Sarawak bersama Malaya 54 tahun lalu sebagai sebuah negara Malaysia merupakan satu kebaikan.
“Saya tidak dapat membenarkan isu perjanian Malaysia dibahas di Parlimen kerana saya tiada kuasa untuk membenarkannya dengan peraturan mesyuarat 15
“Oleh sebab itu, bukanlah sebab angkuh, saya kata siapa yang mahu berbahas dengan saya secara terbuka berkenaan sejarah penubuhan Malaysia, saya sedia(berdebat) pada bila-bila masa, saya sedia.”
Sebelum ini, Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak menegaskan bahawa Kerajaan Persekutuan tidak mempunyai sebarang niat dan berhak untuk mengambil apa-apa yang sememangnya menjadi hak negeri dan rakyat Sabah berdasarkan Perjanjian Malaysia.
Sementara itu, pada sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) Sabah minggu lepas, tiga usul untuk membahaskan isu Perjanjian Malaysia di sidang DUN yang difailkan pemimpin pembangkang ditolak minggu lalu.
Keputusan penolakan usul itu berikutan semakan hak keistimewaan negeri Sabah sudah diluluskan terlebih dahulu manakala hasilnya akan diserahkan kepada pemimpin kerajaan di peringkat persekutuan.-MalaysiaGazette