Elyana

KUALA LUMPUR – Penyanyi Elyana mengejutkan penonton apabila mengaku menghidap kanser tahap empat selepas diumumkan tersingkir di konsert minggu program realiti, Gegar Vaganza musim keempat (GV4) malam tadi.

Elyana atau nama sebenarnya Erneelya Elyana Emrizal membuat pengakuan tersebut secara terbuka dengan menasihati pesakit kanser lain agar kuat dan bertahan sepertinya sehingga kini.

Ketika ditemui pada sidang media selepas itu, Elyana, 30, memberitahu, dia merahsiakan penyakitnya itu daripada pengetahuan orang sejak tujuh tahun lalu.

“Saya kini mengidap kanser dan sel-sel kanser itu sudah berada di seluruh badan saya.

“Saya sudah berpuluh-puluh kemoterapi saya buat dan kali terakhir awal tahun ini dan sebelum berhenti dengan mencuba rawatan altenatif.

“Alhamdulillah, saya masih lagi diberikan nafas oleh Allah SWT sehingga ke hari ini.

“Walaupun saya kelihatan ceria, saya sebenarnya selalu berasa lesu.

“Tapi apa yang paling saya takut sekali adalah tidur malam.

“Saya takut saya tak bangun esok pagi dan tidak dapat lihat anak saya lagi. Jadi setiap hari saya menghargai momen-momen yang saya lalui,” katanya yang disahkan menghidap kanser limfoma selepas melahirkan anaknya, Cinta Sumayyah, 7.

Elyana yang sentiasa kelihatan riang dan aktif sebelum mengakui dia lega selepas mendedahkan rahsianya dirnya itu kepada umum.

“Sejujurnya saya berasa lega selepas memberitahu perkara ini kepada peminat.

“Saya tidak mahu menipu lagi, terutama kepada peminat dan cukuplah selama ini saya diamkan sahaja.

“Sepanjang tempoh itu juga, saya cuba mencari jalan dan waktu terbaik bagaimana caranya untuk saya memberitahu peminat,” jelasnya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube : MalaysiaGazette TV
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast