LIVERPOOL – Everton yang sedang berhadapan krisis telah memulakan perbincangan dengan bekas jurulatih England, Sam Allardyce dalam usaha mengekalkan kelab itu bersaing dalam Liga Perdana Inggeris.
The Goodison menyenaraikan Allardyce selepas prestasi semasa kelab itu dikatakan dalam zon bahaya dan berisiko ke zon penyingkiran.
Sebelum ini pengurus kelab itu, Ronald Koeman yang menggantikan Roberto Martinez dipecat selepas mengharungi prestasi terburuk sejak awal musim ini.
Allardyce dipecat sebagai pengurus England sebelum dilantik Crystal Palace sebagai jurulatih tetapi hanya bertahan sehingga Mei 2017.
Bekas pengurus Sunderland itu juga yang dilihat sebagai pilihanĀ sementara Everton namun Allardyce mengharapkan kontrak yang lebih panjang bersama Toffee.
Allardyce mengharapkan kontrak dua tahun setengah bersama Everton tetapi bersedia menerima tawaran itu sekiranya terma dan bonus yang menarik disediakan.
Terdahulu bos Watford, Marco Silva juga berada dalam radar Everton selain Carlo Ancelotti menggantikan Ronald Koeman yang dipecat awal minggu ini.
Kini bekas pemain England, David Unsworth mengendalikan Everton sehingga pengganti Koeman dimuktamadkan. – MalaysiaGazette