Dzulkifli Ahmad

KUALA LUMPUR – Jabatan Peguam Negara (AGC) tidak berpuas hati dengan kertas siasatan melibatkan Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Tan Sri Dzulkifli Ahmad berhubung dakwaan video skandal dengan isteri orang.

Timbalan Menteri di Kementerian Dalam Negeri, Datuk Nur Jazlan Mohamed menggesa supaya bersabar dengan siasatan melibatkan kes Dzulkifli dan tidak membuat kesimpulan secara melulu.

“Tindakan sudah diambil AG (Peguam Negara), AG tak puas hati dengan kertas siasatan untuk dia buat keputusan akhir mengenai pendakwaan atau tidak, jadi sabar lah tunggu kes ini selesai,” kata Nur Jazlan semasa perbahasan Kementerian Dalam Negeri di Dewan Rakyat hari ini.

Terdahulu, Ahli Parlimen DAP Puchong, Gobind Singh Deo mendesak penjelasan daripada kementerian kerana siasatan yang agak perlahan dijalankan terhadap kes tersebut.

Dalam pada itu, Nur Jazlan memberitahu, kertas siasatan sudah dikembalikan semula kepada pihak polis pada 3 Oktober untuk melengkapkan siasatan mereka berhubung kes tersebut.

“Pihak polis telah mengadakan siasatan berkenaan penyebaran video yang dimuat naik dalam media sosial yang mendakwa KP SPRM, Tan Sri Dzuklifli ada hubungan sulit dengan isteri orang.

“Kertas siasatan telah dirujuk kepada Jabatan Peguam Negara pada 17 Oktober dan pada 30 Oktober, dua mingu kemudiaan, kertas siasatan dikembalikan semula kepada pihak polis untuk lengkapkan siasatan,” jelasnya.

Pendedahan dibuat melibatkan satu laporan yang difailkan oleh seorang ahli perniagaan berusia 37 tahun di ibu pejabat polis daerah Wangsa Maju.

Pengadu mendakwa wanita itu mempunyai dua orang anak dan pasangan tersebut bercerai pada September lalu berikutan pembabitan orang ketiga dalam perkahwinan tersebut.

AGC pada 16 Oktober lalu menubuhkan pasukan khas bertujuan memantau secara rapi siasatan ke atas Dzulkifli di bawah Seksyen 498 Kanun Keseksaan dan kesalahan berkaitan. – MalaysiaGazette