KUALA LUMPUR – Barisan Bertindak Hak Asasi Hindu (Hindraf) dan pengerusinya, P. Waythamoorthy disifatkan sebagai manusia yang berada dalam dunia khayalan dan sering bercakap kosong.
Presiden Pertubuhan Aduan Rakyat Malaysia (PAR), Datuk A. Chandrakumanan berkata, kemenangan Barisan Nasional (BN) pada Pilihan Raya Umum ke-12 dan 13 dengan majoriti agak baik adalah fakta yang tidak boleh dipersoalkan mana-mana pihak.
“Cakap besar Waythamoorthy tanpa menyedari fakta kemenangan BN pada dua PRU lepas menunjukkan sama ada dia berkhayal atau merupakan ‘raja cakap kosong’.
“Bagaimanapun, kenapa kita harus mengambil serius ugutan individu yang pernah tinggal di London di bawah suaka politik dan kembali ke Malaysia sebelum dilantik sebagai Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri dan letak jawatan tanpa sebarang pencapaian membanggakan.
“Bagi saya MIC tidak perlu ambil peduli teriakan individu tidak matang ini,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Beliau berkata demikian sebagai mengulas kenyataan Waythamoorthy bahawa dia akan memastikan MIC ‘habis dijilat’ kekalahan dalam PRU14.
Malah beliau menjelaskan, perbuatan Waythamoorthy itu hanya akan memberi kesan negatif kepada komuniti India secara menyeluruh.
“Apa yang sedang dia lakukan sekarang ini adalah sebenarnya memecah belahkan komuniti India negara ini atau dalam erti kata lain dia mengambil kesempatan ke atas keadaan komuniti untuk meraih kepentingan politik.
“Waythamoorthy sedar penyatuan komuniti India di bawah payung parti politik tunggal (BN) akan memusnahkan aspirasi politiknya,” ujarnya.
Chandrakumanan menegaskan, Waythamoorthy kini sanggup berjabat tangan dengan Pengerusi Pakatan Harapan, Tun Dr. Mahathir Mohamad yang mana dia lupa bahawa bekas perdana menteri itu juga di belakang Perkasa yang merupakan musuhnya.
“Mana prinsip kamu Waythamoorthy? Kita sebagai masyarakat India harus menolak jenama politik Waythamoorthy.
“Tidak kisah sejauh mana kritikan kamu ke atas BN. sekurang-kurangnya BN ada pelan Induk Pembangunan Masyarakat India
“Kalau berani huraikan apa rancangan yang pembangkang ada untuk komuniti India yang menyebabkan kamu diperdaya untuk memberi sokongan kepada pakatan kartun itu. Sila kongsi bersama komuniti India yang tidak sabar mengetahuinya,” katanya.
Chandrakumanan berkata, masyarakat India tahu apa yang mereka lalui di bawah pemerintahan Tun Mahathir sebelum ini dan kini mereka menyaksikan apa yang dilakukan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak.
“Sudah pasti masyarakat India akan menilai kedua-dua pemimpin ini dan membuat keputusan terbaik dan tidak akan menjadi bodoh dengar cakap kosong kamu (Waythamoorthy),” ujarnya.- MalaysiaGazette