KUALA LUMPUR – Amanah Saham Nasional Berhad (ASNB) mengumumkan pengagihan pendapatan sebanyak 5.00 sen seunit Amanah Saham Nasional 3 Imbang (ASN 3) bagi tahun kewangan berakhir 30 November 2017.
Pengagihan pendapatan berkenaan melibatkan pembayaran berjumlah RM64.77 juta, yang akan memberi manfaat kepada lebih 43,000 pelabur dengan pegangan lebih 1.29 bilion unit ASN 3.
Setakat 31 Oktober 2017, ASN 3 telah mencatat pendapatan bersih berjumlah RM62.25 juta dan hasil dividen sebanyak 4.9% seterusnya menyumbang kepada jumlah pulangan sehingga sebanyak 5.9%.
Semua urus niaga bagi ASN 3 telah ditangguhkan mulai 28 November 2017 hingga 3 Disember 2017 bagi tujuan pengiraan pengagihan pendapatan.
Para pemegang unit boleh menyemak dan mengemaskini akaun ASN 3 melalui portal baru ASNB, myasnb.com.my atau di ibu pejabat, semua cawangan dan ejen ASNB di seluruh negara mulai 4 Disember 2017.
Pengerusi Kumpulan PNB, Tan Sri Abdul Wahid Omar berkata, prestasi positif pasaran bagi tahun kewangan semasa ASN 3 telah membantu PNB untuk memberi pulangan yang kompetitif kepada para pemegang unit ASN 3.
Pengiraan pengagihan pendapatan ASN 3 adalah berdasarkan pegangan unit pada 30 November 2017.
Pengagihan pendapatan akan dilaburkan semula sebagai unit tambahan dan akan dikreditkan secara automatik ke dalam akaun pemegang unit pada 1 Disember 2017, berdasarkan nilai aset bersih (NAV) ASN 3 pada 30 November 2017.
Sementara itu, agihan pendapatan untuk pemegang unit yang melanggan ASN 3 menerusi Skim Pelaburan Ahli Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) akan dikreditkan terus ke dalam akaun KWSP masing-masing. – MalaysiaGazette