PASIR MAS, 28 Nov -- Penduduk di sempadan Malaysia-Thailand masih menggunakan khidmat bot penambang untuk ke negara jiran meskipun air Sungai Golok mulai melimpah di sekitar Pekan Rantau Panjang hari ini. --fotoBERNAMA (2017) HAK CIPTA TERPELIHARA

KOTA BHARU – Jumlah mangsa banjir di Kelantan terus menunjukkan peningkatan setakat 8 pagi ini dengan 6,961 mangsa dipindahkan berbanding 5,016 orang setakat 9 malam tadi.

Tumpat merupakan jajahan terbaharu dilanda bencana itu apabila 28 mangsa daripada enam keluarga dipindahkan ke sebuah pusat pemindahan sementara (PPS) pagi ini.

Setakat ini, 90 PPS dibuka di sembilan jajahan iaitu Kota Bharu, Pasir Mas, Tumpat, Bachok, Tanah Merah, Pasir Puteh, Kuala Krai, Machang dan Jeli.

Menurut aplikasi infobanjir Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM), Pasir Mas mencatat jumlah mangsa paling ramai iaitu 2,963 orang daripada 1,145 keluarga yang dipindahkan ke 34 PPS, diikuti Kota Bharu dengan 1,261 mangsa daripada 310 keluarga dipindahkan ke 11 PPS.

Di Machang, 685 mangsa daripada 212 keluarga masih tinggal di tujuh PPS manakala 589 mangsa daripada 185 keluarga ditempatkan di enam PPS di Pasir Puteh.

Di Tanah Merah pula, 560 mangsa daripada 149 keluarga dipindahkan ke 17 PPS manakala di Jeli, 345 mangsa daripada 95 keluarga ditempatkan di tiga PPS.

Sejumlah 304 mangsa daripada 73 keluarga dipindahkan ke dua PPS di Bachok manakala di Kuala Krai, seramai 226 mangsa daripada 55 keluarga ditempatkan di sembilan PPS.

Menurut portal infobanjir.water.gov.my Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS), paras air di Sungai Golok di Rantau Panjang, Pasir Mas meningkat kepada 10.56 meter pada 8 pagi ini berbanding 10.44 meter pada 9 malam tadi. Paras bahaya ialah sembilan meter.

Hujan kadangkala lebat masih dilaporkan berlaku di beberapa kawasan di Kelantan malam tadi.- BERNAMA

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube : MalaysiaGazette TV
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast