Budiman Mohd Zohdi

KUALA LUMPUR – Walaupun kerajaan negeri Selangor yang diterajui Menteri Besarnya, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali sering mendabik dada kononnya mereka jauh lebih berjaya berbanding dahulu namun realitinya masih banyak kepincangan yang berlaku.

Ahli Parlimen Sungai Besa,  Budiman Mohd Zohdi berkata, sebanyak 57 peratus projek yang diluluskan kerajaan negeri Selangor bagi tahun 2016 masih belum terbengkalai malah ianya juga adalah tertinggi berbanding negeri-negeri lain.

” Apa yang mengejutkan saya apabila mendapati 57 peratus yang telah mendapat kelulusan sebenarnya tidak pernah dimulakan sehingga kini.

“Malah hanya lapan peratus sahaja keseluruhan projek negeri Selangor bagi tahun 2016 telah berjaya disiapkan iaitu yang paling rendah berbanding negeri lain. Saya terkejut kerana peruntukan juga bagi semua projek tahun 2016 telah diluluskan menerusi Belanjawan Negeri 2016 yang dibuat pada tahun 2015.

“Kini sudah hampir kepada penghujung tahun 2017, hampir dua tahun masih belum mulakan apa-apa? Azmin Ali yang suka ‘dabik dada’ sila jawab, beri penjelasan mengapa sehingga kini semuanya terbengkalai,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali

Beberapa hari lalu, Jabatan Audit Negara telah mengeluarkan Laporan Ketua Audit Negara (LKAN) 2016 Siri 2 yang menunjukan 57 peratus yang telah mendapat kelulusan tidak pernah mengambil seperti yang sepatutnya di Selangor sejak 2015.

Menurut Budiman, selama ini pembangkang seringkali menjadikan  Laporan Ketua Audit Negara sebagai bahan kempen pembangkang untuk menyerang Kerajaan Persekutuan terutamanya yang melibatkan projek yang gagal atau lambat disiapkan.

“Pembangkang terutamanya di negeri-negeri yang diterajui oleh mereka sering bercakap besar dan cuba mencari kesalahan serta kepincangan kerajaan Persekutuan dan komponen Barisan Nasional.

“Peliknya, mereka yang tidak menjalankan projek-projek pembangunan untuk rakyat yang sudah tentunya dijanjikan melalui manifesto terdahulu.

“Rakyat sering terlepas pandang tentang kepincangan yang dilaporkan dalam laporan tersebut terutamanya bagi negeri yang bukan di bawah BN. Ini bukan sahaja memalukan malah menyebabkan rata-rata rakyat Selangor terkilan.

“Kita hendak tahu apa sebenarnya yang terjadi dengan projek-projek, Azmin Ali mungkin boleh beri penjelasan kepada persoalan kerana tampak jelas ada kepincangan ketara dalam pentadbiran beliau,” ujarnya.-MalaysiaGazette