Home Ekonomi Malaysia Airlines yakin pelan pemulihan ikut jadual

Malaysia Airlines yakin pelan pemulihan ikut jadual

SEPANG – Malaysia Airlines (MAB) yakin Pelan Pemulihan MAB (MRP) lima tahunnya berjalan lancar dan mengikut jadual.

Ketua Pegawai Eksekutif Malaysia Airlines Group, Kapten Izham Ismail berkata, sejajar dengan pelan MRP yang diumumkan pada 2014, fokus MAB bukan hanya mencatatkan keuntungan, tetapi turut menjadikan syarikat penerbangan itu sebagai ikon negara, selain menjadi penggerak ekonomi, jalinan domestik dan hubungan kepada dunia.

“Kami mempunyai banyak tugas untuk dilakukan dan dengan 14,000 kakitangan, MAB berusaha keras untuk pemulihan. Kami sedar terdapat sedikit kekurangan dalam perkhidmatan kami, tetapi akan terus melakukan yang terbaik. Dalam pada itu, MAB akan membanggakan negara,” katanya.

Bercakap kepada pemberita selepas majlis menyambut pesawat A350-900 XWB pertama MAB di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur di sini hari ini, Izham berkata, ia juga simbol perjalanan baharu bagi Malaysia Aviation Group dalam menuju ke arah memuktamadkan MRP, yang penting untuk mengukuhkan semula kumpulan tersebut sebagai entiti yang mampu dari segi kewangan dan mencatat keuntungan yang mampan.

Pesawat A350 XWB disambut secara rasminya oleh Menteri Kewangan Kedua, Datuk Seri Johari Abdul Ghani, Pengerusi Malaysia Aviation Group, Tan Sri Md Nor Yusof dan Izham.

“Dengan kemajuan teknologinya, A350 XWB akan membantu meningkatkan daya saing kami bagi penerbangan jarak jauh dan menggariskan komitmen kami untuk mengendalikan kumpulan pesawat baharu dan moden,” kata Izham.

Sementara itu, Johari berkata, MAB akan menjadi syarikat pertama menikmati pelepasan Cukai Barang dan Perkhidmatan (GST) seperti yang diumumkan oleh Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak dalam Bajet 2018.

Pengimportan item seperti pesawat dan kapal oleh syarikat penerbangan dan syarikat perkapalan yang didaftarkan di Malaysia akan diberi pelepasan GST.

Pembelian pesawat itu akan menelan belanja antara US$200 juta dan US$300 juta dan ini dianggap sebagai item untuk pengecualian GST.

Pesawat A350 XWB mempunyai ciri-ciri reka bentuk aerodinamik terkini dunia, fiuslaj dan sayap gentian karbon, selain enjin Rolls-Royce Trent XWB baharu yang cekap bahan api, dengan pengurangan sebanyak 25 peratus bagi pelepasan dan pembakaran bahan api serta kos penyelenggaraan yang rendah.

MAB telah menempah enam pesawat A350 XWB dan akan menerimanya secara berperingkat pada suku  kedua 2018.

Semuanya dalam pajakan daripada Air Lease Corporation (ALC).

Pesawat A350 XWB akan beroperasi bagi sektor Kuala Lumpur-London mulai 15 Jan, 2018.

Pesawat yang disusun atur dalam tiga kelas dengan 286 tempat duduk, pesawat A350 XWB Malaysia Airlines merupakan yang pertama di Asia mempunyai kabin Kelas Pertama. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube : MalaysiaGazette TV
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast