KUALA LUMPUR – Aktiviti penipuan pengeluaran pasir dapat dikurangkan ke tahap maksimum jika Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali menyerahkan pengurusan itu kepada anak syarikat kerajaan negeri.
Seorang bekas Ahli Jawatankuasa Penambahbaikan Hasil Tanah dan Lombong Selangor yang enggan dikenali mendakwa, jawatankuasa itu pernah mencadangkan agar aktiviti melombong pasir di negeri itu diuruskan oleh sebuah syarikat.
Menurutnya, cadangan itu dikemukakan ketika Pakatan Rakyat (PR) mengambil alih Selangor selepas menang pada Pilihan Raya Umum ke-12 tahun 2008.
“Ketika itu jawatankuasa ini melihat banyak berlaku kelemahan, yang mana pengusaha lombong boleh sewenang-wenangnya kerajaan negeri.
“Ini kerana kita dapati jabatan penguatkuasaan negeri seolah tidak mampu menghalang aktiviti penipuan pengeluaran pasir,” katanya dalam satu pendedahan bertulis kepada media di sini, semalam.
Kelmarin, Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menangkap seorang anak saudara kepada Mohamed Azmin Ali dan tiga yang lain, atas tuduhan rasuah melibatkan projek lombong pasir.
Lelaki berusia 34 tahun itu direman sehingga 6 Disember ini untuk siasatan di bawah Seksyen 16(a) Akta SPRM.
Pada masa sama, mahkamah turut memerintahkan beberapa akaun milik syarikat lelaki berkenaan yang bernilai kira-kira RM4 juta dibekukan.
Turut ditahan termasuklah dua pengarah syarikat, seorang pengurus tapak dan seorang eksekutif syarikat pengiklanan sedang disiasat di bawah Akta SPRM kerana didakwa merasuah pegawai kerajaan tempatan di Kajang pada 2014.
Menurut bekas ahli jawatankuasa itu, aktiviti penipuan boleh berlaku jika pegawai yang diberi tanggungjawa untuk menjaga harta benda rakyat pecah amanah.
“Kalau seseorang pegawai itu berniat jahat, ianya boleh terus berlaku kebocoran,” katanya. – MalaysiaGazette