JOHOR BAHRU – Barisan Nasional (BN) Johor diminta mempertimbangkan permintaan MyPPP negeri ini untuk bertanding satu kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) pada Pilihan Raya Umum Ke-14.
Presidennya, Tan Sri M. Kayveas berkata, sudah tiba masanya MyPPP diberi peluang untuk bertanding di negeri ini.
“Terdapat 56 kerusi dalam DUN di Johor. Kami tidak minta kerusi banyak-banyak, MyPPP hanya minta satu kerusi sahaja.
“MyPPP sudah bagi kesetiaan padu dan kesetiaan itu tidak boleh dipersoalkan. Jadi,sudah sampai masa kita (MyPPP) mahu menguji kesetiaan BN pusat dan negeri kepada MyPPP,” katanya di sini hari ini.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Konvensyen MyPPP Johor 2017 yang dirasmikan oleh Timbalan Pengerusi BN Johor Datuk Dr Abdul Latif Ahmad dan turut dihadiri Pengerusi MyPPP Johor Datuk Dr. Siva Kumar.
Dalam pada itu, ditanya mengenai calon yang sesuai diketengahkan MyPPP Johor, Kayveas berkata, Siva Kumar yang sudah menerajui parti itu di negeri ini sejak 14 tahun lalu menjadi pilihan utama.
Sivakumar berkata, MyPPP semakin kuat di negeri ini dengan kira-kira 53,000 keanggotaan termasuk mendapat sokongan masyarakat Cina dan Orang Asli.
“Permintaan kepada BN Johor supaya diberikan satu kerusi untuk ditandingi adalah tepat dengan waktunya kerana selama ini kami tidak pernah meminta selain desakan akar umbi kerana MyPPP sentiasa berkhidmat kepada rakyat,” katanya.
Sementara itu, Abdul Latif berkata, sebagai anggota BN negeri, beliau secara peribadi menyifatkan permintaan MyPPP untuk bertanding di satu kerusi DUN itu adalah realistik, tidak keterlaluan dan praktikal.
Anggota Parlimen Mersing itu juga menyifatkan permintaan MyPPP itu mesti bersebab dan parti tersebut tentunya sudah melakukan kajian sekali gus percaya kepimpinan parti akan membincangkan perkara itu. – MalaysiaGazette.