KUALA LUMPUR – Majlis Ittihad Ummah (Ittihad) menentang keras terhadap sebarang usaha untuk mengiktiraf kepercayaan tidak bertuhan sebagai satu hak di sisi Perlembagaan Persekutuan.

Berikutan itu, Ketua Lajnah Kajian Strategik Ittihad, Datuk Dr. Wan Ahmad Fauzi Wan Husain menyeru semua organisasi yang selama ini dilihat memperjuangkan hak-hak kebebasan beragama untuk menyatakan sikap menurut kepercayaan agama masing-masing.

“Fahaman tidak bertuhan itu adalah satu kepercayaan yang menyalahi ajaran agama dan hak yang diberikan kepada mereka yang beragama,” katanya dalam satu kenyataan.

Dilaporkan fahaman ateis atau satu bentuk kepercayaan yang menafikan kewujudan tuhan mula menular di negara ini malah dikatakan telah mengadakan himpunan pertamanya di ibu negara.

Kerajaan sebelum ini berkata, akan menyiasat jika terdapat umat Islam menyertai Kelab Atheist Republic Kuala Lumpur yang tular di laman media sosial baru-baru ini.

Kata Wan Ahmad Fauzi, oleh kerana kepercayaan tidak bertuhan adalah bercanggah dengan nilai-nilai agama dan hak orang-orang yang beragama di bawah Perlembagaan Persekutuan, maka pegangan sedemikian bolehlah disifatkan sebagai tidak bermoral.

Menurutnya, kepercayaan tidak beragama itu bukan sahaja berlawanan dengan prinsip moral, bahkan ia merupakan satu ancaman kepada hidup beragama pada masa hadapan.

Selain itu, Wan Ahmad Fauzi juga meminta kerajaan menyiasat aktiviti-aktiviti yang berniat menghakis kedudukan Islam sebagai agama rasmi negara ini.

Majlis tersebut juga mahu kerajaan mengambil tindakan terhadap kenyataan-kenyataan yang boleh menimbulkan ketegangan bagi umat Islam, katanya. – MalaysiaGazette