KUALA LUMPUR – Pasukan tenpin boling wanita negara mencipta sejarah apabila menamatkan kemarau 10 tahun untuk meraih pingat emas pada Kejohanan Dunia 2017 di Las Vegas.
Wakil negara terdiri daripada Shalin Zulkifli, Siti Safiyah Amirah Abdul Rahman, Sin Li Jane, Syaidatul Afifah Badrul Hamidi dan Natasha Roslan menewaskan pasukan Singapura 214-209, 188-177 pada final di South Point Bowling Center.
Terdahulu mereka menang 198-207, 248-168, 182-181 menentang Colombia di separuh akhir.
Kejayaan itu adalah kejuaraan kali ketiga selepas pasukan negara memenanginya pada tahun 2003 di Kuala Lumpur dan di Monterrey, Mexico pada 2007. – Bernama