KUALA LUMPUR – Pergerakan Wanita UMNO menyifatkan ucapan perasmian sayap-sayap parti oleh Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi menjadi pembakar semangat kepada mereka berjuang dalam PRU-14 kelak.
Ketuanya, Tan Sri Shahrizat Abdul Jalil berkata, Naib Presiden yang menjalankan tugas Timbalan Presiden UMNO memberikan mesej jelas berhubung beberapa perkara yang perlu diambilkira oagar Barisan Nasional (BN) kekal menerajui kepimpinan negara.
“Kitalah yang menjadi wakil kepada jentera di peringkat akar umbi. Kita juga wakil kepada rakyat untuk menjadi mata dan telinga kepada mereka dalam mengetengahkan isu suka duka mereka kepada pihak berkuasa,” katanya kepada pemberita ketika ditemui selepas Perasmian Persidangan Sayap-sayap Pergerakan Wanita, Pemuda dan Puteri UMNO di Pusat Dagangan Dunia Putra di sini malam ini.
Sharizat berkata, gerak kerja Wanita UMNO yang konsisten menjadi penyebab jentera itu turut digeruni oleh pembangkang.
Katanya, wanita UMNO telah berikrar pada fasa akhir sebelum PRU-14 ini segala kerja akan dipertingkatkan di peringkat akar umbi.
“PRU-14 ini kita jangan main-main, ini adalah raja segala pilihan raya. Kita sangat serius dalam melaksanakan kerja,” ujarnya. – MalaysiaGazette