KUALA LUMPUR – Perang mulut dan cabar mencabar secara terbuka antara Ketua Menteri Sarawak, Datuk Abang Johari Openg dengan Speaker Dewan Rakyat, Tan Sri Pandikar Amin Mulia mengenai isu Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) tidak membawa kepada semangat kesatuan nasionalisme dan patriotisme negara.
Sebaliknya, menurut Presiden Pertubuhan Pribumi Perkasa Malaysia, Datuk Paduka Dr. Ibrahim Ali, ia boleh membawa pelbagai kekeliruan minda dan melebarkan lagi perpaduan rakyat antara timur dan semenanjung.
Sehubungan itu, kata Dr. Ibrahim, beliau mencadangkan atas nama sifat kesederhanaan yang dilaungkan oleh semua pemimpin agar elok kedua mereka bertemu secara tertutup untuk berdialog mencari kebenaran.
“Di situ mereka boleh berdialog sepuas-puasnya untuk mencari kebenaran,” katanya dalam kenyataan kepada media di sini, semalam.
Perang mulut kedua pemimpin Barisan Nasional (BN) itu bermula setelah buku terbaharu Pandikar bertajuk, “Berpisah Tiada” dilancarkan Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi pada 27 November lalu.
Ketika ditemui media selepas pelancaran buku itu, Pandikar dilaporkan berkata, tidak wujud perkara seperti Sabah dan Sarawak setaraf dengan Malaya kerana selepas Malaysia ditubuhkan pada 16 September 1963, Malaya sudah tidak lagi wujud.
Kenyataannya itu menimbulkan rasa kurang senang Abang Johari yang menyifatkan Pandikar tidak faham dengan perjanjian MA63.
Jelas Dr. Ibrahim, pertemuan antara Pandikar dan Abang Johari itu boleh juga diadakan secara meja bulat dengan turut menjemput pakar perundangan serta tokoh sejarah yang berautoriti.
“Bincang secara ikhlas, telus dan apa juga kesimpulan secara sebulat suara atau majoriti hendaklah dihormati oleh semua pihak.
“Wakil kerajaan pusat seperti Peguam Negara dan Penasihat Undang-Undang Kerajaan Negeri Sarawak termasuk Sabah juga wajar dijemput untuk memerhati serta mencelah kalau perlu,” ujarnya.
Kata beliau, di peringkat antarabangsa, Malaysia selalu membuat saranan dan cadangan agar menguna saluran ke meja rundingan damai untuk menyelesaikan sesuatu masalah.
Ini kerana, ujar beliau, bertukar pendapat melalui meja bulat yang diadakan secara tertutup lebih berintegriti dan menjamin semangat setiakawan berkekalan.
“Lontarlah apa saja pandangan, tapi mesti sedia menerima fakta dan berlapang dada.
“Inilah nasihat dan saranan Perkasa yang sentiasa meletakkan keselamatan negara sebagai tunjang perjuangan dan berpaksi kepada perlembagaan dan undang-undang negara.
“Janganlah dimusnahkan negara Malaysia yang berdaulat sejak 55 tahun lalu,” katanya. – MalaysiaGazette