NEW YORK – Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) telah menghantar duta ke Korea Utara menangani ketegangan terhadap pelancaran peluru berpandu balistik antara benua (ICBM) oleh Pyongyang.
Lawatan luar biasa oleh Jeffrey Feltman dijadualkan pada hari Selasa hingga Jumaat – hampir seminggu selepas ujian Korea Utara melepaskan peluru berpandu balistik yang dipercayai mampu sampai ke Amerika Syarikat.
Semalam, Amerika Syarikat dan Korea Selatan melancarkan latihan tentera secara besar-besaran yang dilihat sebagai “provokasi habis-habisan.”
Latihan lima hari itu melibatkan 230 pesawat termasuk jet F-22 dan lebih 10,000 askar, kata tentera udara Korea Selatan.
Penganalisis tidak jelas sama ada peluru berpandu terselamat masuk semula ke atmosfera bumi atau berjaya melepaskan kepala peledak ke sasaran – halangan utama teknologi untuk Pyongyang.
Seorang anak kapal Cathay Pacific mendakwa peluru berpandu itu “disyaki memasuki semula” ketika pesawat itu sedang terbang dari San Francisco ke Hong Kong, kata syarikat penerbangan berkenaan.
Dalam mesej yang berasingan kepada kakitangan, pengurus besar Cathay, Mark Hoey berkata, anak kapal itu menyifatkan peluru berpandu tersebut “meletup dan runtuh,” laporan The South China Morning Post.
Korea Utara telah melaksanakan beberapa siri ujian peluru berpandu dan nuklear sehingga meningkatkan ketegangan hubungannya dengan Amerika Syarikat dan sekutu-sekutunya.
Feltman yang juga Setiausaha Bahagian bagi perhubungan politik PBB berada di Beijing sehari sebelum berlepas ke Pyongyang.
China adalah satu-satunya sekutu diplomatik dan tentera kepada Pyongyang.
Semasa berada di Korea Utara, Feltman akan berbincang mengenai isu-isu kebimbangan dua hala dengan jurucakap PBB, Stephane Dujarric.
Bagaimanapun tidak dapat dipastikan sama ada Feltman akan menemui Kim Jong-un, pemimpin Korea Utara.
Ia merupakan lawatan pertama Feltman ke Korea Utara sejak ia berada di PBB sejak lima tahun lalu dan juga yang pertama sejak menjadi Setiausaha Bahagian lebih tujuh tahun.
Wakil PBB itu turut menemui diplomat-diplomat asing dan kakitangan PBB yang bertugas di bawah misi kemanusiaan. – MalaysiaGazette