KUALA LUMPUR – Suspek yang ditembak mati oleh Pasukan Keselamatan Kawasan Keselamatan Khas Pantai Timur (ESSCOM) di Sabah semalam merupakan salah seorang pemimpin militan kumpulan Abu Sayyaf yang berada dalam senarai sangat dikehendaki polis.
Ketua Polis Negara Tan Sri Mohamad Fuzi Harun berkata, Abu Paliyak, 31, atau komander Paliyak dikehendaki polis kerana mempunyai kedudukan tinggi dalam kumpulan militan itu selain menjadi antara perancang utama beberapa insiden penculikan di perairan Sabah sejak 2014.
“Saki baki kumpulan itu ditangkap dan telah dihapuskan oleh pihak berkuasa Filipina sebelum ini.
“Kali ini kita dapat hapuskan suspek dikehendaki ini yang telah berada dalam senarai dikehedaki polis dalam tempoh yang agak lama,” katanya dalam sidang media selepas merasmikan Hari Peringatan Ulang Tahun Pasukan Simpanan Persekutuan (FRU) ke-62 di Cheras hari ini.
Mengulas lanjut, Mohamad Fuzi berkata, polis akan terus memburu saki baki anggota kumpulan tersebut.
“Berdasarkan risikan kami, kita berjaya menjejaki dan menumpaskan suspek.
“Kita juga masih mempunyai senarai beberapa suspek dalam pemerihatian serius untuk dihapuskan, dan ini operasi berterusan yang kita akan laksanakan,” tegasnya. – MalaysiaGazette