KUALA LUMPUR – Presiden UMNO, Datuk Seri Najib Razak memberi bayangan bahawa Pilihan Raya Umum ke 14 (PRU-14) kali ini akan dibarisi ramai calon muka baharu, menurut Datuk Seri Azalina Othman Said.
Ujarnya, perancangan itu dibuat bagi memastikan Barisan Nasional (BN) menang besar dalam mendepani PRU-14 tidak lama lagi.
“Calon PRU-14 pula presiden minta kita kompromi. Daripada ucapan beliau mungkin banyak muka-muka baharu yang akan diperkenalkan dan isu calon lelaki dan calon wanita.
“Bagi saya, ia pendekatan yang baik kerana lagi tahun masuk 2020, perubahan bagi lanskap dunia di Malaysia pun akan berubah bukan sahaja dari segi politik, juga ekonomi dan sosial,” katanya selepas mendengar taklimat Presiden UMNO di Dewan Merdeka sebentar tadi.
Langkah itu jelas Azalina perlu dilakukan memandangkan BN memerlukan pelapis dalam memastikan parti itu terus berkuasa selepas PRU14 akan datang.
“Sebab itu kita perlu muka baru dan muda supaya dapat menimbulkan kesinambungan pada perjuangan UMNO dan BN,” katanya lagi.
Najib mengambil masa lebih sejam untuk memberikan amanat iaitu acara pembukaan kepada Perhimpunan Agung UMNO (PAU2017) yang berlangsung hari ini.
Esok, PAU2017 akan memulakan siri dengan Ucapan Dasar Presiden yang kemudiannya akan dibahaskan perwakilan.
Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi malam ini dijadualkan akan merasmikan persidangan ketiga-tiga sayap parti itu di Dewan Merdeka, Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) tepat jam 8 malam ini. – MalaysiaGazette.