KUALA LUMPUR – Tunku Ismail Sultan Ibrahim mencabar bekas jurulatih Johor Darul Ta’zim (JDT), Mario Gomez yang mendakwa kelab bola sepak itu tidak membayar gajinya membawa perkara itu ke mahkamah.
Pemilik kelab bola sepak itu menyatakan beliau tidak perlu menyatakan berapa banyak wang yang beliau ada namun adalah tidak masuk akal jika beliau tidak mampu membayar RM60,000.
“Teruskan usaha, Mario… $$$, sila bawa saya ke mahkamah kerana saya tidak pernah merasa ke mahkamah dan saya ingin merasainya,” katanya dalam laman Fecebook Johor Southern Tigers.
Gomez yang baru dilantik untuk mengendalikan kelab bola sepak Indonesia, Persib Bandung sebelum ini mendakwa JDT tidak mahu membayar gajinya.
Laporan akhbar berbahasa Inggeris hari ini menyatakan bahawa Gomez dan peguamnya akan mengemukakan kes tersebut kepada Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa (FIFA)
Menurut laporan itu, Gomez tidak mempunyai pekerjaan sejak Januari lalu dan mendakwa mengikut terma perjanjian, gajinya masih perlu dibayar.
Pada Mac tahun ini, Gomez ditawarkan menjadi jurulatih pasukan kebangsaan namun beliau dilaporkan meminta gaji yang lebih tinggi. Namun jurulatih kelahiran Argentina itu manafikannya.
Sementara itu, Pengarah Teknikal JDT, Alistair Edwards berkata, pada mulanya pihaknya tidak mahu menimbulkan isu itu kepada umum tetapi disebabkan Gomez telah membuat kenyataan secara umum JDT tiada pilihan selain melakukan perkara yang sama.
“Mario Gomez telah membuat kenyataan bahawa JDT berhutang pembayaran gaji kepada beliau. Ini sememangnya tidak benar dan merupakan tindakan tidak sepatutnya dari pihak Encik Gomez.
“Faktanya ialah sebahagian daripada kontrak Encik Gomez bersama JDT adalah beliau dikehendaki membayar gaji pembantunya, Raul Longhi,” ketanya dalam laman Facebook yang sama.
Edwards berkata, Gomez pada mulanya membayar gaji Longhi secara terus namun kemudian meminta Setiausaha JDT untuk membuat pembayaran kepada Longhi.
Menurutnya, sejak 2015 JDT telah membayar komponen gaji itu secara terus kepada Longhi daripada gaji Gomez, selaras dengan kewajipan dalam kontrak jurulatih itu.
Sementara itu, Edwards berkata, Gomez telah membuat kenyataan palsu bahawa JDT tidak menjawab suratnya.
“Kami menerima surat itu dalam bahasa Sepanyol dan telah menjawab dengan sewajarnya. Jangan cuba untuk menipu kerana ini akan menjejaskan karier anda di Indonesia,” katanya.
Berikutan itu, Edwards nasihatkan Gomez supaya mendapatkan nasihat undang-undang yang betul sebelum ‘merapu’ di media.
Katanya, negara ini mempunyai saluran perundangan yang betul di mahkamah dan bukannya cuba menarik polemik kosong dengan memulakan perbicaraan melalui media.
Tambah beliau, barisan peguam JDT telah bersiap-siaga dengan segala fakta dan asas yang kukuh kerana yakin tindakan yang diambil sebelum ini adalah bertepatan dan selari dengan ‘rules of law’. – MalaysiaGazette