KUALA LUMPUR – Dua individu kontroversi dalam negara, Azwan Ali dan Datuk Seri Jamal Md. Yunos mengesahkan akan bergandingan untuk menumbangkan Datuk Seri Mohamed Azmin Ali pada PRU-14 nanti.
Kedua-dua individu tersebut walaupun datang daripada latar belakang berbeza namun mencapai kata sepakat untuk bekerjasama bagi berkempen melawan Menteri Besar Selangor.
Azwan menyifatkan abang kandungnya itu sebagai seorang yang lupakan diri dan tidak ingat kepada nasihat arwah bapanya dahulu supaya hormat kepada orang lebih tua walaupun dalam berpolitik.
“Dia lupa apa amanah arwah Haji Ali, orang sehebat Tan Sri Noh (Omar) pun dia nak against. Apa masalah dia, hormatlah sikit orang lama-lama.
“So kalau kau ingat kau menteri besar hebat sangat, biar aku jatuhkan, menteri lain tidak berani jatuhkan meh sini aku jatuhkan,” kata Azwan semasa ditemui wartawan di PWTC yang turut hadir ke Perhimpunan Agung UMNO 2017 hari ini.
Azwan turut menafikan dibayar oleh mana-mana pihak dalam usahanya untuk melawan Azmin.
“Jangan ingat saya dapat dedak, saya dibayar juta-juta, itu tidak ada,” jelas beliau.
Dalam pada itu, Jamal turut mengumumkan pelantikan Azwan sebagai wakil calonnya di Bukit Antarabangsa untuk melawan Azmin dimana beliau adalah Ahli Dewan Undangan Negeri di kawasan tersebut.
“Terima kasih, hasrat saya untuk jadikan saudara diva atau Azwan Ali ini sebagai wakil calon untuk saya bertanding di Bukit Antarabangsa N19 akhirnya menjadi kenyataan dan beliau pun bersetuju selepas bincang jadi wakil calon saya
“Beliau telah menunjukkan harapan supaya Bukit Antarabangsa dapat ditawan dan mengalahkan Azmin Ali disana, saya harap Azmin Ali jangan lari,” kata Jamal. – MalaysiaGazette
Saya sedia untuk ‘jahanamkan’ Azmin – Azwan Ali