Home Ekonomi Bank Negara tidak keluar lesen pinjaman wang

Bank Negara tidak keluar lesen pinjaman wang

KUALA LUMPUR – Bank Negara Malaysia (BNM) menegaskan bahawa Bank Pusat itu tidak mengeluarkan lesen pemberian pinjaman wang.

Sebaliknya, perniagaan pemberian pinjaman wang dikawal selia di bawah Akta Pemberi Pinjam Wang 1951 dan ditadbir oleh Kementerian Kesejahteraan Bandar, Perumahan dan Kerajaan Tempatan.

Sehubungan itu, BNM mengingatkan orang ramai agar tidak terpedaya dengan modus operandi aktiviti pemberian pinjaman wang haram yang didakwa dikeluarkan oleh Bank Pusat, baru-baru ini.

BNM dalam kenyataannya berkata, tujuan penipuan ini untuk memperdaya orang ramai supaya mempercayai bahawa mereka ialah pemberi pinjaman wang berlesen dan mengaburi orang ramai untuk membuat pembayaran awal bagi pelbagai tujuan yang berkaitan dengan pinjaman seperti perbelanjaan pentadbiran, duti setem dan yuran guaman.

Kegiatan penipuan ini dijalankan melalui laman sesawang, media sosial, panggilan telefon, SMS, e-mel atau dalam bentuk komunikasi lain, kata BNM.

BNM menggesa semua mangsa penipuan kewangan di atas untuk membuat laporan kepada Polis Diraja Malaysia bagi memudahkan siasatan.

“Orang ramai diingatkan supaya sentiasa berwaspada terhadap mana-mana orang atau pihak yang mendakwa bahawa mereka diberikan lesen oleh Bank Negara Malaysia.

“Mereka dinasihati supaya merujuk senarai institusi yang dilesenkan atau diluluskan di bawah undang-undang yang ditadbir oleh Bank Negara Malaysia sebelum menjalankan apa-apa urus niaga perniagaan atau pelaburan,” kata BNM.

Senarai institusi boleh didapati melalui www.bnm.gov.my.

Orang ramai juga boleh menghubungi BNMTELELINK (Pusat Perhubungan Khidmat Pelanggan) Tel: 1-300-88-5465 atau Faks: (03) 2174 1515 dan emel: [email protected]

Untuk mengemukakan pertanyaan atau aduan, taip 15888 BNM TANYA (pertanyaan/aduan anda).- MalaysiaGazette