Ahli Majlis Tertinggi UMNO, Datuk Razali Ibrahim menyampaikan ucapan penangguhan wakil Majlis Tertinggi pada Perhimpunan Agung Pergerakan Wanita UMNO Malaysia 2017 di Dewan Tun Dr. Ismail, Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC), Kuala Lumpur. foto NOOR ASREKUZAIREY SALIM, 06 DISEMBER 2017

KUALA LUMPUR – Wanita UMNO perlu terus ‘berleter’ bagi memastikan tuntutan mereka termasuk isu kuota calon 30 peratus wanita bertanding pada PRU-14.

Perkara itu disuarakan Ahli Majlis Tertinggi (MT) UMNO, Datuk Razali Ibrahim apabila mahu ketua pergerakan itu, Tan Sri Shahrizat Abdul Jalil tidak berputus asa menuntut hak mereka kepada pucuk kepemimpinan.

Beliau yang juga Ketua UMNO Bahagian Muar berkata, jika langkah itu tidak dilakukan perjuangan pergerakan itu akan menjadi sia-sia.

“Isu 30 peratus bukan bermula dari tahun ini tetapi sudah dibangkitkan bertahun-tahun, jika dia putus atas dalam berleter, sudah tentu tidak akan dapat apa yang dihajatkan sedangkan apa yang dituntut itu adalah benda baik,” katanya ketika menyampaikan ucapan sebagai wakil MT ke Perhimpunan Agung Wanita UMNO 2017.

Menurut Razali, kuota 30 peratus yang diperjuangkan Wanita UMNO bukan hanya membabitkan calon wanita pada PRU, tetapi juga bagi mengisi jawatan pembuat keputusan dan dasar kerajaan.

Razali yang juga Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri berkata,  leteran itu jangan dilihat negatif kerana leteran ibulah menjadikan seseorang anak itu berjaya dalam kehidupan.

“Anak-anak fikir leteran satu perkara yang membebankan, sebab tu dalam cerita Anakku Sazali, Sazali menjadi anak manja yang rosak kerana bapanya tidak berleter.

“Leteran yang melahirkan insan yang berguna, puan-puan jangan putus asa, teruskan berleter,” ujarnya.

Sementara itu, Razali mahu perwakilan Wanita UMNO mencontohi sikap Presiden, Datuk Seri Najib Razak yang tidak mengeluh dan menyalahkan orang lain jika berlaku perkara yang tidak menyebelahi kerajaan dan kepemimpinannya sebaliknya terus melipat gandakan usaha.

“Kalau Malaysia nak berjaya, jangan pilih pemimpin yang asyik salahkan orang sebaliknya pilih pemimpin yang tahu mencari jalan penyelesaian,” katanya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast